Saat
saya turun dari rumah sekitar jam 11.45 pagi tadi, saya membaca Ayatul Kursy
seperti kelaziman saya. Tetapi saat saya mendekati Bandar Machang, hati saya
berdebar-debar kencang. Kenapa ni?
Saya
menurunkan isteri saya di Pasar Besar Machang untuk dia membeli beberapa
keperluan dapur. Saya pula ke Kedai Lah Radio untuk membeli corong pembesar
suara untuk kegunaan surau saya. Dah lama saya tertangguh-tangguh, rasanya hari
ini sangat sesuai saya membelinya.
Selesai
urusan membeli peralatan tersebut, saya segera mengundurkan kereta saya dari
parking. Di sebelah saya ialah sebuah lori besar yang dinaiki sepasang suami
isteri.
Saya
cuba
bergerak ke hadapan, tetapi di hadapan saya ialah seorang anggota pasukan
Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM). Kedudukannya menghalang pergerakan
saya. Maka saya terpaksa berhenti sekejap menunggu dia berundur ke tepi.
Hormat
menghormati & kasih mengasihani di jalan raya adalah suatu sifat yang
terpuji. Bila dia menyedari bahawa dia menghalang pergerakan kereta saya, maka dia
pun segera bergerak ke tepi jalan. Terima kasih.
Saya
kemudian ingin bergerak ke depan. Dan pada saat itulah, lori di sebelah saya
tadi mengundur (gostan) ke belakang secara tiba-tiba. Dumm. Kemek pintu kereta
saya dibuatnya.
“Ya
Allah”, saya berseru dalam hati. Sepasang suami isteri tadi segera keluar
daripada lorinya. Anggota pasukan JPAM itu juga mendekati kereta saya. Saya
terdiam agak lama di dalam kereta. Sedih ada, marah pun ada. Tetapi saya
menekan kedua-duanya dengan sifat sabar saya.
“Ya
Allah, ini semua ketentuanMu, takdirMu, kehendakMu”, demikian saya memberitahu
hati saya. Segera saya teringat kepada kuliah “Tafsir Sufi” yang saya sampaikan
di surau semalam.
Sebahgian
tanda orang yang arif (mengenal Allah) itu ialah dia memandang semua perkara
yang berlaku padanya ialah takdirNya. Maksudnya, segala apa yang menimpa
kepadanya adalah kerana ketentuan & kehendak Allah semata-mata.
Saya
terima takdir Allah ini dengan penuh redha. Saya tak marah padanya. Bukan salah
dia. Bukan juga salah saya. Dan bukan juga salah anggota pasukan JPAM itu.
Semuanya kehendak Allah. Semuanya ketentuan daripadaNya.
Rundingan
kami berjalan lancar. Pada mulanya, saya suruh dia langsaikan sahaja kos ketuk
body & cat kereta saya di kedai Welding Mat Daud, sahabat saya di Kg
Membunga. Tetapi katanya, dia tinggal di
Gua Musang & sekarang dalam perjalanan hendak balik ke Gua Musang.
Dia memberi sedikit duit kerana kesilapannya melanggar saya. Saya terima seadanya. Di Kedai Welding Mat Daud, kos keseluruhannya RM250.00 kerana melibatkan 2 pintu. Saya akur dengan jumlah yang terpaksa saya bayar.
Kesan
pelanggaran itu melibatkan kemek pada pintu hadapan & belakang sebelah kiri.
Kalau satu pintu yang kena, mungkin kosnya sekitar RM150.00. Tetapi ia
melibatkan 2 pintu. Sudah ketentuan dan kehendakNya. Saya redha menerimanya.
Sesungguhnya
ilmu Tuhan itu sangat luas. Sudah pasti segala apa yang berlaku itu diliputi
oleh keluasan IlmuNya. Dan sesungguhnya Tuhan juga Maha Bijaksana. Sudah pasti
segala apa yang berlaku itu mengandungi hikmah-hikmah yang berguna kepada saya.
Di
antara kata-kata saya yang selalu saya sebutkan kepada jemaah:
[1]
Bila kita ditimpa musibah, hendaklah kita bersabar. Kerana boleh jadi musibah
yang kecil itu mengelak kita daripada terkena musibah yang lebih besar. Kesabaran
itu adalah buah dari hati yang redha & akal yang sihat.
[2]
Musibah yang tuhan berikan itu adalah rahsia ketuhanan. Bersangka baiklah
kepada Tuhan kerana semua yang berlaku itu adalah dengan keluasan IlmuNya &
kebijaksanaanNya. Tuhan itu bersifat Al-Alim (Maha Memgetahui) & Al-Hakim
(Maha Bijaksana). Sedarilah.
[3]
Berterima kasihlah kepada Tuhan kerana mengatur seluruh pergerakan hidup kita
dengan cantik, indah & kemas. Tuhan tidak berlepas tangan sedikit pun dari
kita. Segala yang berlaku itu adalah ketentuan & kehendakNya untuk menjamin
keselamatan, keselesaan & kelansungan
hidup kita. Masyaallah.
Rahsia
ketuhanan itu adalah sesuatu yang rahsia. Al-Quran membentangkan kisah Nabi Musa
dan Nabi Khidir untuk menunjukkan betapa rahsianya rahsia ketuhanan itu. Ia
sangat sulit untuk dimengerti &
difahami.
Untuk
kita sebagai orang awam ini, langkah menghadapi rahsia ketuhanan itu adalah
dengan bersangka baik kepada Tuhan. Dan itulah yang saya lakukan.
Dari
saat saya mulai meletak kereta saya di Kedai Welding Mat Daud pada pukul 12.00
pm sehinggalah kepada jam 7.00 pm nanti, macam-macam perkara boleh berlaku
kepada saya sekiranya saya masih berada di atas jalan raya dalam tempoh 7 jam
tersebut..
Atau
dalam bahasa yang mudah difahami, mungkin kalau saya tak terlibat dengan
kemalangan pagi tadi dan tidak menghantar kereta saya ke Kedai Welding Mat
Daud, saya akan terlibat dengan kemalangan lain, yang lebih besar, lebih teruk,
lebih ngeri, bahkan mungkin mengakibatkan kematian.
Selepas
subuh tadi, saya dah bacakan Ayat Lima sebagai penolak bala, kemudian doa pengusir
bala. Kemudian sebelum memandu, saya pun dah baca Ayatul Kursy seperti kelaziman
saya. Tetapi kemalangan itu berlaku juga.
Kemalangan
itu berlaku menurut ketentuanNya. Dan semua yang berlaku itu adalah kehendakNya.
Saya redha & pasrah.
Dari
Allah kami datang, dan kepadaNyalah kami akan dikembalikan.
Untuk makluman tuan, saya pernah mengambil baiah dengan Tuan Guru Haji Basir bin Khatib ini sekitar tahun 1986, di Kg. Lubuk Buntak, Ketereh, Kelantan. Ketika itu usia saya 20 tahun. Maklumlah sedang remaja dan menuntut di pengajian tinggi, maka begitu sukar untuk berhubung dengan tuan guru. Tetapi kerinduan tetap ada. Hingga kini. Baru-baru ini pernah ke Paya Jaras tempat tinggal tuan guru. Alangkah.
ReplyDelete