GUGUR INDAH


Get Flower Effect

Sunday, 21 October 2012

IMAM MAHDI AL-MUNTAZAR (4) Tidak Memerlukan Pujian Dan Tidak Tenggelam Oleh Pujian



IMAM MAHDI AL-MUNTAZAR (4) Tidak Memerlukan Pujian Dan Tidak Tenggelam Oleh Pujian

PEMBUKA BICARA
Ibn ‘Atha’illah berkata, “Sesiapa yang memuliakanmu, sebenarnya dia telah memuliakan keindahan tabir pada dirimu. Keutamaan ada pada diri orang yang memuliakanmu dan menutupi aibmu, bukan pada diri orang yang menyanjungmu dan berterima kasih kepadamu.”

Keutamaan sebenarnya adalah pada ALLAH S.W.T, bukan kepada manusia yang memujimu dan menyanjungmu. Dialah yang memberi tabir indah kepada Imam Mahdi Al-Muntazar Akhir Zaman sehingga semua makhlukNya menyayanginya.

Sesungguhnya Allah Taala itu bersifat Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. DIA juga bersifat Al-Waduud (mencintai sekalian orang mukmin). Maka kerana itu, dia memberikan keindahan tabir kepada para hambaNya yang disayangi.

Setiap kita mempunyai banyak cacat-cela yang tersembunyi, dan Allah menutupinya dari pandangan orang ramai. Andaikata Allah membuka tabir itu dari pandangan mereka, tentu kelemahan kita akan terserlah dan kedudukan kita akan jatuh.

Tetapi kurnia Allah enggan untuk menyingkap tabir kelemahan hamba-hambaNya, sebagai kurnia dan kemuliaan baginya.

Kalau anda faham tentang makna tabir itu, tentu anda juga faham mengapa Allah S.W.T menutup pribadi Imam Mahdi daripada kita. Tetapi tutupan tabir ke atasnya bukan setakat untuk menutup cacat-celanya, tetapi untuk menutupnya dari pandangan musuh-musuhnya.

Semua orang mencarinya. Saya, anda, Dajjal & kuncu-kuncunya.

Kita mencari untuk mengikutinya. Tetapi Dajjal & kuncu-kuncunya mencari untuk membunuhnya.

Mari kita lihat sebuah hadis tentang Imam Mahdi.

MARI KITA HAYATI HADIS INI
Diriwayatkan daripada Abu Sa’id Al Khudri katanya, “Rasulullah s.a.w. bersabda, “Al Mahdi itu adalah dari kalangan kami Ahlul Bait”. Hidungnya mancung bongkok, dahinya luas. Dia akan memenuhi dunia dengan keadilan dan kesaksamaan sebagaimana dunia sebelum itu dipenuhi dengan kezaliman dan kekejaman. Dia hidup selama (sambil) Baginda Rasulullah membuka jari sebelah kiri dan dua jari sebelah kanan iaitu jari telunjuk dan jari tengah dan melipatkan jari daripadanya.” (Mustadrak Haakim j.4 ms.557)

Kalau kita melihat maksud hadis di atas, jelas bahawa perkhabaran Imam Mahdi sudah diketahui sejak 1433 tahun yang lepas. Tetapi Tuhan menutup tabir dirinya sehingga tidak ada sesiapa pun mengenalinya.

Inilah rahsia ketuhanan terhadap kita. Dalam Dia menutup tabir kelemahan diri kita supaya tertutup segala aib diri kita, maka Dia juga menutup tabir Imam Mahdi supaya tidak berlaku pemujaan & kehormatan melulu terhadapnya.

JANGAN MENGAKU ATAU MENDAKWA 
Tidak ada sesiapapun boleh mengaku bahawa dia adalah Imam Mahdi, meskipun hidungnya mancung bongkok & berdahi luas seperti di atas. Imam Mahdi Al-Muntazar Akhir Zaman tidak memerlukan pujian dari sesiapa untuk itu. Kemunculannya adalah kerana dipilih oleh Tuhan, bukan dilantik oleh mana-mana jawatankuasa.

sekadar gambar illustrasi...jangan suka mengaku/mendakwa
Dia tidak meminta pujian orang-orang yang suka memuji dan tidak bercita-cita mendapatkannya. Jika ada seseorang memujinya, maka dia tidak terkecoh tentang hakikat dirinya di hadapan orang yang memujinya, kerana memang dia lebih mengetahui tentang rahsia hati dan dirinya daripada orang lain. .

Imam Mahdi A-Muntazar Akhir Zaman adalah manusia suci yang hanya beribadat  kerana Allah semata-mata. Dia tidak sibok ke sana ke mari mencari pengaruh, sokongan, kemuliaan & sebagainya. Tuhan menyembunyikannya supaya dia tidak menjadi gah atau tersohor dengan pujian dari manusia seluruh alam.

Allah menaikkan darjatnya sebagai pemimpin akhir zaman dengan kehendak dan keredhaanNya, bukan dengan pengaruh, sokongan & pujian melulu manusia terhadapnya.

Betapa besarnya pengaruh pujian ini dapat dilihat kepada kehidupan kita sehari-hari. Rata-rata manusia tidak boleh bertahan dengan pujian. Mereka mudah kembang hidung. Tersengih-sengih, terkulat-kulat & tersenyum seorang diri sepanjang masa.

Ibn ‘Atha’illah berkata, “Orang-orang memujimu dari persangkaan mereka tentang dirimu. Maka adalah engkau orang yang patut mencela dirimu sendiri kerana apa yang engkau ketahui pada dirimu. Orang yang paling bodoh adalah yang meninggalkan keyakinannya tentang dirinya kerana ada persangkaan orang-orang tentang dirinya.”

Diriwayatkan dari Ali bin Abi Thalib radhiallahu ‘anh, bahawa jika dipuji orang lain maka beliau berkata, “Ya Allah, janganlah Engkau hukum aku kerana apa yang mereka katakan. Berikanlah kebaikan kepadaku dari apa yang tidak mereka ketahui.”

Ibn Mas’ud radhiallahu ‘anh berkata kepada orang-orang yang mengekori dan mengerumuninya, “Andaikata kamu tahu alasanku menutup pintu rumahku, dua orang antara kamu pun tidak akan dapat mengikutiku.” Padahal beliau adalah sahabat yang menonjol, pemuka petunjuk dan pelita Islam.

Sekumpulan orang memuji seorang Rabbani. Lalu dia mengadu kepada Allah sambil berkata, “Ya Allah, mereka tidak mengenalku dan hanya Engkaulah yang mengetahui siapa diriku.”

Salah seorang yang shaleh bermunajat kepada Allah, kerana sebahagian orang ada yang memujinya dan menyebut-nyebut kebaikan dan kemuliaan akhlaknya:

Mereka berbaik sangka kepadaku, padahal hakikatnya tidaklah begitu
Tetapi aku adalah orang yang zalim, sebagaimana yang Engkau sedia maklum
Kau sembunyikan semua aib yang ada, dari pandangan mata mereka
Kau kenakan pakaian menawan, sebagai tabir tutupan, jadilah mereka meyintai.
Padahal aku tidak layak dicintai, tetapi hanyalah diserupai
Janganlah Engkau hinakan aku, pada hari qiamat di tengah mereka
Jadikanlah aku mulia, walau pun aku  hina dina

Penyair yang shaleh ini mengisyaratkan makna yang lembut dan sangat penting, iaitu keindahan tabir yang diberikan Allah kepada hamba-hambaNya. Berapa banyak cacat-cela yang tersembunyi tetapi Allah menutupinya dari pandangan orang ramai. Andaikata Allah membuka tabir itu dari pandangan mereka, tentu kelemahannya akan terserlah dan kedudukannya akan jatuh. Tetapi kurnia Allah enggan untuk menyingkap tabir kelemahan hamba-hambaNya, sebagai kurnia dan kemuliaan baginya.

Kembali semula kepada Imam Mahdi, ada sebuah buku yang bertajuk ‘Siapa Imam Mahdi’ keluaran Pustaka Nasional Singapura yang beberapa petikan pentingnya sempat dicatat oleh seorang HAMBA ALLAH seperti berikut :

“Imam Mahdi akan memerintah sama ada 20 atau 30 atau 40 tahun” (jumhur ulama dan penafsir hadis mengambil yang tengah iaitu 30 tahun memandangkan jangkamasa ini dianggap sebagai lama masa ia memerintah sedangkan 40 tahun lama masa ia hidup dan 20 tahun pertama merupakan kemuncak umurnya.) “Imam Mahdi akan muncul sewaktu ia berusia 26 tahun. Beliau akan belayar dan apabila tiba di Mekah, beliau akan tawaf di Kaabah. Ketika inilah orang ramai akan mengesyaki beliau tetapi beliau tidak akan mengaku lantas terdengarlah seruan malaikat dari langit: “Itulah dia Al Mahdi,ikutilah dia”. Lantas sesiapa yang berdiri akan terduduk dan yang berbaring akan bangun dari tidurnya. Ia mendapat petunjuk dari Allah dalam satu malam. Sesudah itu Al Mahdi akan menghantar dua orang utusan kepada Raja Mekah (As Sa’ud?) tetapi mereka kemudian dibunuh, lalu Al Mahdi mengisytiharkan perang terhadap Raja Mekah.”

Raja Mekah yang dimaksudkan itu sudah pun meninggal. Al Mahdi yang dikatakan berumur 26 tahun itu adakah maksud sebuah hadis atau sekadar telahan penulis buku sahaja?

KATA-KATA HAMBA ALLAH BERKENAAN
Apa pula kata Nostradamus? Kebanyakan kata-kata Nostradamus terkumpul dalam sejumlah quatrain (atau lembaran-lembaran) yang diberikan nama sebagai “Centuries”.

Terdapat banyak ramalan-ramalannya yang terkenal termasuklah ramalan kedatangan Hitler yang disebut Hister, kematian dan kejatuhan sistem beraja Perancis, perubahan taqwim Julian ke Gregorian (rujuk falak-net yahoo groups) dan banyak lagi termasuk ramalan Perang Dunia I dan II dengan cukup tepat!

Saya bukannya hendak mensyorkan sesiapa saja supaya mempercayai tukang tilik ini yang hidup di abad ke-16 itu tetapi ada beberapa kutipan keterangan darinya yang hendak saya ketengahkan merujuk kepada hadis Nabi SAW. Ramalan Nostradamus merupakan fakta sokongan sahaja.

Bagaimanakah kita akan menentukan adakah benar atau tidak bahawa pada setiap seratus tahun sekali akan ada pemimpin besar Islam yang akan dilahirkan? Mari kita lihat fakta ini.

Sepanjang sejarah Islam kita sedia mendengar tokoh-tokoh Islam kurun lampau, akan tetapi pada kurun ke-19 memang lahir ramai cendekiawan Islam pada penghujung kurun itu. Contohnya Badi’uzzaman Sa’id An Nursiy dari Turki (1873), Imam Ahmad Asy Syarif As Sanusi dari Libya (1873) bahkan Syeikh Muhammad Abduh dari Mesir yang lahir pada tahun 1849 juga antara mujaddid yang rata-rata hidup dalam lingkungan antara 1850-an hingga 1880-an. Begitulah juga seratus tahun selepas mereka.

Dijangka tentu ada mujaddid kolektif seperti ini bagi tahun 1950-an hingga 1980-an.

APAKAH PADA TAHUN 1970-AN?
Jika Imam Mahdi dilahirkan seratus tahun selepas mujaddid kolektif tadi, apakah pada tahun 1970-an? Jika mengikut ramalan Nostradamus bahawa akan datang seorang Raja Penakluk (Great King of The Mongols) pada tahun 1999, manakala Bush mungkin boleh saja digelar Great King of Terror, apakah Imam Mahdi memang telahpun ada pada ketika ini?

Imam Mahdi bukanlah turun dari langit tetapi merupakan seorang insan biasa juga yang diberikan hidayat oleh Allah dalam satu malam. Jika Imam Mahdi dikatakan akan mula muncul ketika berusia 26 tahun pada tahun 1999 itu, adakah beliau lahir pada tahun 1973?

PENDAPAT SAYA
Kandungan buku tersebut agak baik, Cuma saya tidak bersetuju tentang umur 26 tahun Imam Mahdi pada saat kemunculannya. Setahu saya, dia muncul pada umur 40 tahun (demikian maksud salah satu hadis). Kalau betul kata-kata saya ini, bermakna tahun kemunculan Imam Mahdi Al-Muntazar ialah pada (1973 + 40) = 2013M atau 1433H. Tahun inilah yang lebih mendekati kata-kata Abu Hurairah yang mengatakan Imam Mahdi akan keluar sekitar 1420H atau 1430H.  .

Saya sendiri tersilap membuat perkiraan dalam beberapa perkara. Tetapi kesilapan itu berlaku sekitar tanda-tanda kemunculan Imam Mahdi Al-Muntazar. Walau bagaimana pun, bila saya terjumpa pernyataan  atau kalam Abu Hurairah yang mulia itu, saya anggap kesalahan saya itu hanya bersifat teknikal sahaja. Secara asasnya, sejak dahulu lagi, saya memperhitungkan tarikh kemunculan Imam Mahdi Al-Muntazar sekitar 2012 -2015M atau 1432 – 1435H. Wallahu ahlam bissawab.   

SELAMAT DATANG, WAHAI MAHDI AL-MUNTAZAR  

1 comment: