Benarkah Mereka Itu Al-Mahdi dan Pemuda Bani Tamim?
Saya terdiam sebentar takkala membaca kenyataan di atas. Adakah benar Nasser Mohamed itu Imam Mahdi (IM) dan Abdul Aziz Muhammad Nashir itu Pemuda Bani Tamin (PBT)?.
Kedua-duanya dari sebuah negara di Asia Tenggara. Kedua-duanya berbangsa Melayu dan dari rumpun Melayu.. Dan
saya telah menolak kewujudan IM dari bangsa Melayu dan rumpun Melayu. Seperti
telah saya jelaskan dalam IMAM MAHDI SEMAKIN DEKAT (SIRI 1), IM itu pernah
tinggal di Iraq
dam pernah dikhianati oleh Saddam Hussin.
Tuan punya asal entri ini adalah
seorang ustaz. Dialah yang mencabar kesahihan kedua-duanya dengan lontaran soalan
di atas. Mari kita dengarkan sanggahannya.
Tulisan ini dihidangkan dalam
bentuk perbincangan, bukannya argumentasi. Oleh itu saya akan membincangkan pro
dan kontra, menyatakan kecenderungan peribadi saya jika perlu, dan lebih suka
jika pembaca dapat membuat pertimbangan sendiri ke atas maklumat-maklumat yang
dihidangkan. Tulisan ini juga dibuat tanpa saya merujuk kepada mana-mana
tulisan berkaitan kerana setakat ini saya belum jumpa mana-mana orang yang
menghuraikannya dengan panjang lebar. Oleh itu, maklumat-maklumat dalam tulisan
ini tidak mustahil mengandungi kelemahan dan kesalahan.
2.0 MENILAI PEGANGAN NASSER MOHAMED
(AL-MAHDI)
2.1 WAJAH AL-MAHDI
Saya ada melihat beberapa keping
gambar yang dikatakan wajah Al-Mahdi iaitu Nasser Mohamed. Melihatkan pada
hidungnya yang mancung, memang sudah kena dengan isyarat hadith Nabi. Tapi,
bahagian dahinya tidak sama kerana dahinya jenis sempit sedangkan dahi Al-Mahdi
luas.
“Al-Mahdi itu dahinya luas dan hidungnya
mancung.” (Abu Daud)
2.2 KEMAKSUMAN
Nasser Mohamed mengakui dirinya
tidak maksum. Bahagian ini memang kita persetujui. Tetapi dia menambah pula,
bahwa tidak ada sesiapa pun yang maksum kecuali Allah. Bahagian ini janggal
bunyinya, kerana kita sedia maklum yang para nabi bersifat maksum. Atau mungkin
juga Nasser Mohamed mempunyai definisi ‘maksum’ yang lain daripada yang biasa
kita fahami.
2.3 ILMU LADUNI
Katanya dia menerima ilmu terus
daripada Allah sebagaimana Nabi Sulaiman pernah menerimanya. Ilmu ini tidak
melalui perantaraan Malaikat Jibril. Oleh itu dia bukan rasul atau nabi. Dalam
kata lain, ilmu yang dimaksudkan oleh Nasser Mohamed ialah ilmu laduni.
Bahagian ini kita boleh pertimbangkan (boleh dipertimbangkan bukannya bermaksud
boleh dipercayai terus).
2.4 KHULAFA AR-RASYIDIN
Nasser Mohamed menyanjung
Saiyidina Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali. Hal ini menunjukkan dia bukanlah
penganut fahaman Syiah. Namun begitu dia memandang keutamaan lebih terletak
pada Saiyidina Ali berbanding tiga orang lagi khalifah. Hal ini tidak
mengejutkan kita kerana memang ramai ahli masyarakat Yaman yang memandang
Saiyidina Ali lebih afdhal dan lebih utama untuk menjawat jawatan khalifah
selepas pemergian Rasulullah saw. Namun begitu, dengan pemahaman sebegitu sahaja
tidaklah membuatkan mereka terkeluar daripada Ahli Sunnah wal Jamaah. Pandangan
majoriti ulama ialah Saiyidina Ali bukan yang terafdhal atau paling utama,
namun ada juga beberapa pandangan lain yang boleh dikira terpencil seperti
lebih afdhal dan utamanya Fatimah binti Rasulullah dan Saiyidina Abbas.
2.5 HOLLOW EARTH
Menurut Nasser Mohamed, Hollow
Earth ialah satu terowong di bawah tanah yang memiliki dua pintu. Satu pintu
terletak di Utara dan satu lagi di Selatan. Di sinilah tempat asal Nabi Adam
sebelum baginda dihantar keluar ke bumi.
Ramai umat Islam percaya tempat asal Nabi Adam ialah di syurga. Namun begitu ada juga yang mengatakan bahawa tempat itu bukannya syurga. Ia lebih kepada sebuah taman atau kebun yang indah. Sebab itulah ia disebut sebagai “jannah”, yang bermaksud kebun. Jannah ini tidak sama dengan Jannah syurga. Pada zaman itu, syurga sebenar belum dibangunkan. Kalau sudah diwujudkan pun, ia terletak di tempat yang lain. Bukankah Tuhan telah berjanji bahawa mana-mana manusia yang masuk ke dalam syurga, tidak akan keluar-keluar lagi? Padahal Nabi Adam dan Hawa dikeluarkan dari jannah.
“Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa itu berada dalam jannah dan
(berhampiran) mata air.” (Al-Hijr : 45)
“Mereka tidak berasa letih di dalamnya dan mereka tidak akan
dikeluarkan daripadanya.” (Al-Hijr : 48)
Tuhan juga mengatakan bahawa di
dalam syurga tidak akan terdengar perkataan yang sia-sia, yang tidak elok. Tapi
Adam dan Hawa terfitnah dengan kata-kata Iblis di dalam jannah itu sehinggakan
mereka diusir keluar.
“Dalam jannah na’im (dalam syurga kenikmatan).” (Al-Waqi’ah : 12)
“Di sana
mereka tidak mendengar percakapan yang sia-sia ataupun yang menimbulkan dosa.”
(Al-Waqi’ah : 25)
Kemudian, jika benar jannah yang
diduduki Adam dna hawa itu syurga, bagaimana Iblis yang enggan bersujud kepada
Adam sebelum itu boleh masuk ke sana
lalu menghasut Adam dan Hawa?
Kata Iblis : “Tuhan kamu hanya melarang kamu berdua mendekati pohon ini…”
(Al-A’raf : 20)
Perkataan “pohon ini” menunjukkan
dekatnya Adam, Hawa dan Iblis dengan pohon larangan itu. Jika jauh, Iblis akan
menyebutnya sebagai “pohon itu”.
Berdasarkan maklumat-maklumat
ini, tidak mustahil juga mereka dahulunya berada di sebuah alam berupa taman
atau kebun, bukannya syurga sebenar. WaAllahua’lam.
Bible pula menyatakan yang Adam
dan Hawa berada di sebuah taman yang dikenali sebagai Taman Eden (ada kaitan dengan Syurga ‘Adn/ ‘Adnin
ataupun wilayah Aden/Eden di Yaman?). Nampaknya maklumat daripada Bible
sedikit-sebanyak menyokong pandangan di atas. Kajian tentang hal ini masih
berterusan.
Berbalik kepada Nasser Mohamed,
dia percaya yang Nabi Adam dan Hawa asalnya bukan tinggal di syurga, tetapi di
tempat lain. Hal ini bolehlah kita beri pertimbangan yang sewajarnya. Namun
apabila dia mengatakan tempat itu ialah di bawah tanah, sukar juga untuk kita
memberi pertimbangan. Kalau dikatakannya tempat itu berada di Bukit Qaf,
ataupun di kayangan, ataupun di alam jin, rasanya lebih selesa untuk kita beri
sedikit ruang pertimbangan berbanding dikatakannya “ di dalam bumi”.
Ayat Al-Quran pula berbicara
tentang keluarnya Adam dari Jannah ke muka bumi sebagai “turun”. Maksudnya Nabi
Adam turun dari suatu tempat yang tinggi, bukannya keluar dari bawah bumi.
Sekalipun ‘turun’ dalam ayat itu hendak kita kaitkan dengan turunnya darjat dan
bukan turunnya lokasi, keluar dari bawah bumi masih tidak enak didengar untuk
dikaitkan dengan ‘turun’.
“(Allah) berfirman : “Turunlah kamu (wahai Adam dan Hawa). Kamu akan saling bermusuhan satu sama lain.
Bumi adalah tempat kediaman dan kesenanganmu, sampai lah waktu yang
ditentukan.” (Allah) berfirman : “Di sana (bumi)
kamu hidup, di sana kamu mati, dan dari sana (juga) kamu akan
dibangkitkan.” (Al-A;raf : 24-25)
Sekiranya Adam dan Hawa berada
dalam perut bumi iaitu di Hollow Earth, pastinya Tuhan akan mengatakan : “Di
sini kamu hidup, di sini kamu mati, dan dari sini kamu akan dibangkitkan.” Hal
ini kerana Hollow Earth berada dalam stau planet dengan permukaan bumi yang
kita duduki hari ini. Apabila Tuahn menggunakan perkataan “di sana”, maksudnya antara tempat asal Nabi Adam
dengan bumi, jaraknya sangat jauh.
Menurut Nasser Mohamed lagi, satu
hari di Hollow Earth sama panjangnya dengan setahun di bumi. Di sini pelik
bunyinya. Jika Hollow Earth berada di dalam bumi, tentulah ia bergerak (sama
ada mengelilingi ataupun dikelilingi objek-objek angkasa lepas yang lain)
dengan kadar yang sama. Maka masanya sepatutnya sama. Bahagian ini kurang jelas
kerana tidak banyak maklumat yang diberikan oleh Nasser Mohamed.
2.6 YAKJUJ DAN MAKJUJ
Tambahan lagi, Nasser Mohamed
percaya Hollow Earth itu didiami oleh makhluk-makhluk tertentu termasuklah
Yakjuj dan Makjuj. Maknanya selama ini kaum Yakjuj dan Makjuj berada di dalam
perut bumi. Suatu hari nanti mereka akan keluar merosakkan atas muka bumi.
Bahagian berkaitan Yakjuj dan
Makjuj ini kalau dibincangkan secara terperinci akan menjadi sangat panjang.
Oleh itu saya ringkaskan perbincangan tentangnya di sini dengan mengatakan
bahawa sukar untuk saya menerima yang Yakjuj Makjuj berada di dalam tanah. Hal
ini kerana kita tahu Zulqarnain membuat penghadang kepada Yakjuj Makjuj di
antara dua gunung, maksudnya Yakjuj Makjuj berada di sebalik sana kedua-dua
gunung tersebut, bukannya di dalam tanah. Suatu hari nanti, tentera Yakjuj
Makjuj akan meluru dari segenap tempat yang tinggi. Jika mereka keluar dari
dalam bumi, tentulah tak sesuai untuk dikatakan mereka meluru turun dari
segenap tempat yang tinggi.
“Hingga apabila dibukakan Yakjuj dan Makjuj, mereka (datang/turun) dari
seluruh tempat yang tinggi.” (Al-Anbiya’ : 96)
“Sesungguhnya kamu merasakan kamu tidak mempunyai musuh, sedangkan kamu
sentiasa membunuh musuh kamu, sehingga datang Yakjuj dan Makjuj dalam keadaan
muka yang lebar dan mata yang kecil berwarna kekuning-kuningan, bersegera
(meluru) dari tempat yang tinggi, seolah-olah muka mereka lebam seperti terkena
pemukul.” (Ahmad)
Seterusnya Nasser Mohamed
memaklumkan bahawa Yakjuj dan Makjuj belum keluar ke muka bumi kerana Hollow
Earth dipisahkan bahagian Utara dengan Selatannya oleh Tembok Zulqarnain,
sebuah tembok besi bersalut tembaga. Bahagian ini pun sukar untuk saya berikan
ruang pertimbangan kerana takkanlah Zulqarnain membina tembok di dalam tanah,
atau di alam ghaib. Katanya lagi, mereka
akan keluar apabila Planet Nibiru/ Sijjil/Saqar melewati bumi suatu hari nanti
kerana ketika itu Tembok Zulqarnain akan termusnah.
Namun begitu, sabagaimana yang
saya maklumkan pada bahagian pendahuluan artikel ini, hujah yang pro tidak saya
tinggalkan. Ada
sebuah hadith yang boleh kita katakan sebagai penguat kepada kepercayaan
mengatakan Yakjuj dan Makjuj berada di dalam tanah iaitu :
“Sesungguhnya Yakjuj dan Makjuj menggali tembok itu setiap hari
sehingga mereka hampir dapat melihat cahaya matahari. Berkata dalam kalangan
mereka : “Marilah kita pulang dan datang semula esok……” (Ahmad, Turmizi)
Yakjuj dan Makjuj menggali setiap
hari sehingga hampir dapat melihat cahaya matahari. Di sini mungkin maksudnya
mereka menggali dari lokasi yang tidak dipancar cahaya matahari. Mungkinkah
mereka di dalam tanah? WAllahua’lam.
“Nabi saw bangkit dari tidurnya
dalam keadaan muka merah, baginda berkata : “Tiada Ilah selain Allah! Celakalah
kaum Arab yang melakukan kejahatan. Sesungguhnya makin hampir. Telah terbuka
hari ini penutup Yakjuj dan Makjuj.” Dan baginda membuat isyarat bulatan.
(Ahmad)
Terbukanya penutup Yakjuj dan Makjuj ini bersesuaian dengan keluarnya suku kaum Khazar dari utara (Rusia) melalui pergunungan Kaukasus, iaitu dari Celahan Darial (Darial Pass). Setakat ini saya cenderung mengatakan di situlah lokasi tembok besi bersalut tembaga yang dibina oleh Zulqarnain, berbanding lokasi-lokasi lain. Penghalang Yakjuj Makju ini melebar dari Tembok Besar China sehinggalah ke Eropah.
Kebanyakannya penghalang
semulajdi berupa gunung-ganang dna kawasan tinggi. Tapi apabila Rasulullah
bermimpi tentang ‘penutup’ kepada Yakjuj Makjuj, maksudnya lebih kepada suatu
binaan, bukannya penghalang semulajadi. Kaum Khazar ini melakukan kerosakan di
tempat-tempat yang mereka pergi dan berjaya mengalahkan tentera Islam. Bangsa
Yakjuj Makjuj itu sangat luas, dna kaum Khazar ialah salah satu daripadanya.
Maksudnya kaum Khazar ialah kaum Yakjuj Makjuj pertama yang berjaya meloloskan
diri dan melakukan kerosakan lalu kemudiannya diikuti oleh kaum-kaum Yakjuj
Makjuj yang lain.
Berdasarkan hujah ini, Yakjuj
Makjuj itu bukanlah makhluk aneh, makhluk asing, raksasa dan seumpamanya,
tetapi suku bangsa manusia yang tidak bertamadun. Pada zaman silam, bangsa-bangsa
yang tinggal di utara dunia hidup tidak bertamadun. Tamadun-tamadun awal dunia
semuanya terletak di selatan daripada penghalang Yakjuj Makjuj seperti tamadun China, Mesopotamia,
Yunani, Greek, Mesir, Mohenjodaro dan lain-lain.
3.0 MENILAI PEGANGAN ABDUL AZIZ MUHAMMAD NASHIR (PEMUDA BANI TAMIM)
3.1 BANI TAMIM.
Apakah maksud ‘Pemuda Bani
Tamim’? Apakah kaitannya dengan Bani Tamim? Allah tentunya tidak akan secara
sia-sia menisbahkan Sang Pemuda kepada Bani Tamim. Tentu ada kaitannya. Jika
tidak, tentu Allah akan menyebutnya sebagai ‘Pemuda’ sahaja ataupun
dinisbahkan-Nya kepada yang lain.
Abdul Aziz yang mengakui dirinya
sebagai Pemuda Bani Tamim tidak pula menjelaskannya kepada kita. Adakah ia
bermakud pemuda itu berketurunan Bani Tamim? Jika benar, Abdul Aziz mestilah
memaparkan salasilahnya yang jelas sehinggalah bertemu dengan seorang lelaki
dari Bani Tamim. Sekurang-kurangnya Abdul Aziz hendaklah menjelaskan kaitan
dirinya dengan Bani Tamim.
“Akan keluar dari sulbi ini (keturunanku) seorang pemuda yang akan
memenuhi bumi ini dengan keadilan (iiatu Al-Mahdi). Maka apabila kamu meyakini
yang demikian itu, hendaklah kamu bersama-sama Pemuda Bani Tamim. Sesungguhnya
dia datang dari Timur dan dialah pemegang panji-panji Al-Mahdi.” (Thabrani)
Namun sefaham saya, hadith ini
bukanlah hadith yang kukuh. WaAllahua’lam.
3.2 MALAM MASJIDIL HARAM
Ketika diri Abdul Aziz dimasuki
oleh sesuatu (yang kemudiannya diyakininya sebagai Allah) di Makkah, dia
berlari ke Masjidil Haram pada pukul 1 pagi untuk mendapatkan bantuan, tetapi
tidak ada sesiapa di Masjidil Haram ketika itu. Benarkah di Masjidl Haram tidak
ada seorang manusia pun pada pukul 1 pagi?
Para
pembaca yang pernah pergi ke Makkah di
luar musim haji tentu tahu suasana tengah malam di Masjidil Haram.
3.3 BERHENTI KALA AZAN SUBUH
Sesuatu (yang diyakininya sebagai
Allah) yang masuk ke dalam badannya itu membuatkan Abdul Aziz berasa sakit, dan
sesuatu itu berkata-kata kepada hatinya “A-Qiamah” berulang kali. Keadaan itu
berterusan sehinggalah ke waktu fajar. Apabila azan Subuh berkumandang, sesuatu
itu berhenti berkata-kata walaupun sakitnya masih ada.
Sepanjang pengalaman saya merawat
orang (saya seorang mu’allij), biasanya yang berhenti membisik atau
berkata-kata pada pesakit kala azan dikumandangkan tidak lain ialah jin. Dalam
kes Abdul Aziz ini, tak tahulah saya.
PENDAPAT SAYA
Mendengar ocehan & cerita
yang pelbagai dari kedua-dua hamba Allah di atas, kemudian diikuti oleh kupasan
ustaz yang berpengalaman itu, saya mendapati kedua-duanya mempunyai keinginan
besar untuk menjadi IM & PBT.
Mereka mendahului ketetapan tuhan
dengan mengisytiharkan diri mereka masing-masing. Saya rasa sanggahan dan
argumentasi ustaz di atas sudah cukup kuat. Dan saya dengan hormatnya MENOLAK semua dakwaan di atas.
Sekian terima kasih.
28.9.2012 3.12 pm.
No comments:
Post a Comment