GUGUR INDAH


Get Flower Effect

Sunday 18 November 2012

IBUKU SAYANG



IBUKU SAYANG
Saya tidak boleh membayangkan orang yang hidup tanpa ibu. Sungguh sedih. Sangat sedih.

Melihat wajah ibu sebenarnya satu nikmat. Sudah dapat pahala dari Tuhan. Merenung mata ibu lagi besar nikmatnya. Kalau dapat mencium tangannya, lagi besar nikmat yang kita rasakan.

Ibu adalah ratu setiap anak. Ibu adalah kebanggaan setiap anak. Semua anak sayangkan ibunya, bangga dengan ibunya. Termasuk saya.

Ibu saya sudah tua. Sudah 75 tahun. Dia sudah tidak dapat bergerak. Bahkan dia sudah nyanyuk. Tetapi ibu masih mengenal saya.

Tadi saya melawat ibu. Bila saya sampai, dia segera membuka matanya. Barangkali dia dapat mencium kehadiran saya. Bila saya mengengam  tangannya, dia mengengam tangan saya lebih kuat. Seperti tidak mahu dilepaskannya.

Bila saya mencium tangannya, dia tersenyum. Alhamdulillah, ibu masih pandai tersenyum.

Baru-baru ini, ibu saya sakit kuat. Dia demam & tak mahu makan. Adek saya segera menelefon saya. Segera saya ke Kok Lanas bersama isteri & anak saya. Oleh kerana ibu tak dapat bergerak, saya segera menelefon ambulan untuk mengambil ibu.

Ibu dibawa ke Hospital Machang. Seminggu ibu di sana. Bergilir-gilir kami adek beradek menjaganya. Anak saya pun menjaga ibu. Didikan saya kepada anak saya mudah jew.

KITA MESTI BERBANGGA KALAU DAPAT BERBAKTI.

ORANG YANG BERBAKTI ITU SANGAT MULIA DI SISI TUHAN.

Alangkah besarnya nikmat dapat menjaga ibu. Saat dia tidur, saya menatap wajahnya yang putih bersih. Kedut-kedut tua sudah penuh di mukanya, tetap wajah berani & tegasnya masih kelihatan.

Saya tahu ibu saya wanita berani. Semasa saya kecil, ibu saya berani menoreh getah seorang diri di tepi Bukit Jerat Semata. Ibu pergi seorang diri. Masa itu, ayah berkerja di Singapura. Bila saya tanya, ibu tak takut ke? Dia jawab mudah jew.

KITA HANYA PERLU TAKUT KEPADA ALLAH.

Bila ayah meninggal dunia, ibulah yang memelihara kami 4 beradik. Dia wanita tegas dan sangat percaya diri. Pagi dia menoreh, petang dia menanam padi, malam dia buat kueh.

Saya tidak dapat membayangkan kuatnya dia berkerja. Ibu tak pernah merintih. Dia juga tak pernah merunggut. Bila saya tersedar waktu pagi, dia sudah pun bangun. Kueh-muehnya pun dah siap untuk dijual. Bahkan nasi goreng untuk saya & adek-adek saya pun dah siap untuk dimakan.

Sampai saya dah berumur 51 tahun sekarang ini, saya masih teringat nasi goreng masakan ibu. Sungguh sedap, sungguh lazat, sungguh menyelerakan. Lebih sedap daripada nasi goreng isteri saya.Bahkan jauh lebih sedap daripada nasi goreng di Kedai E-rup Soup, Machang atau Mahana Restauran dekat Taman Bina Alam, Machang.

Resipi ibu simple jew. Bawang merah beberapa ulas. Budu sedikit rasa. Telor ayam sebiji. Kemudian masukkan nasi putih. Sedapnya tak dapat dibayangkan.  Sungguh sedap, sungguh lazat, sungguh menyelerakan. Setiap kali makan, pasti licin.

Tentu anda tertanya-tanya kenapa masakan ibu saya sedap untuk saya. Tetapi saya ingin juga bertanya kepada anda. Kenapa masakan ibu anda sedap untuk anda? Sebenarnya masakan ibu kita sentiasa sedap untuk kita. Saya sukakan masakan ibu saya. Anda pun tentu suka masakan ibu anda. Semua orang begitu. Kenapa ya?

ITULAH RAHSIA KASIH SAYANG SEORANG IBU. Dia memasak untuk anak-anaknya dengan penuh kasih-sayang. Dia bukan sekadar memasukkan bawangnya, telornya, budunya (atau kicapnya), sayurnya, garamnya & sebagainya, tetapi dia juga memasukkan KASIH SAYANGnya ke dalam masakan kita.

Dia berdoa & berharap dalam hatinya agar masakannya dapat menghilangkan lapar anak-anaknya. Supaya anak-anaknya tidak kebuluran. Supaya anak-anaknya sihat cergas seperti anak-anak yang lain. Supaya anak-anaknya dapat tumbuh & membesar dengan sempurna. Supaya anak-anaknya dapat menjadi manusia berguna yang diredhai Tuhan, di dunia & akhirat.

Tukang masak mana-manapun gagal melakukannya untuk kita. Chef mana-manapun tak dapat melakukannya untuk kita. Hanya ibu kita yang berjaya. Dia Berjaya memasukkan KASIH SAYANGnya ke dalam masakan kita.

Sebab itu, sayangilah ibumu sebagaimana saya menyayangi ibu saya. Dia manusia yang tak pernah berdusta dengan kasih sayangnya terhadap kita. Percayalah.

Seorang kekasih mungkin mencintai anda sepenuh hatinya saat anda lawa, segak, tampan & macho. Tetapi bila anda ditimpa kemalangan, maka hatinya tentu berubah. Apakah dia sanggup mencintai anda lagi takkala mendapati muka anda sudah buruk, mata anda buta, gigi anda rontok dan sebagainya?

Bukan sahaja seorang kekasih, bahkan seorang tunang pun, hatta seorang isteri pun, mungkin lari dari anda. Anda bukan lagi insan istimewa. Tetapi anda sudah menjadi kain buruk yang tak berharga.
Hanya ibu & ayah yang sanggup mencintaimu. Walau seburuk manapun wajahmu, mereka tetap menerimamu, membelaimu, memujuk hatimu & sanggup tidur di sampingmu. Itulah ibumu. Itulah ayahmu.

SAYANGILAH IBUMU & AYAHMU, SEBAGAIMANA SAYA MENYAYANGI IBU SAYA & AYAH SAYA.

Ayah saya sudah tiada. Sekarang hanya tinggal ibu saya. Dan dia pun sudah tua. Dah tak dapat bergerak seperti dulu. Kadang-kadang dia nyanyuk. Doktor memberitahu saya bahawa perangai ibu saya sudah kembali seperti kanak-kanak.

Saya sedia maklum. Dan saya amat maklum. Begitulah pusingan kehidupan yang berlaku. Tetapi saya menginsafi diri saya. Kalau bukan kerana didikan & pengorbanan ibu saya, tak mungkin saya menjadi seperti ini.

Ibu saya bernama Che Yah. Datuk saya pula bernama Mat Piah.  Che Yah bt Mat Piah. Itulah nama ibu saya, nama kebanggaan saya, nama ratu hati saya. Nama yang paling indah dalam kehidupan saya. Kalaulah tidak ada nama itu, tidak adalah pula nama saya, batang tubuh saya, rumah saya, kereta saya, isteri saya, anak saya, kerja saya, pangkat saya & gaji saya.

Dari namanya, dari kasih sayangnya, mengalirlah sungai kehidupan yang indah ke dalam nama saya. Sebab itu saya menyayangi nama itu. Nama keramat yang membaluti seluruh jasad & roh saya.

Walau pun ibu saya tegas & agak sedikit bengkeng (cengil), tetapi hatinya baik. Dia mewarisi sifat nenek saya yang baik. Nenek saya pernah berpesan kepada ibu saya supaya memondokkan (belajar pondok) saya. Dia mahu saya menjadi seorang Tok Lebai. 

Pada masa itu juga, ramai orang alim yang "mulut masin" (maksudnya, doanya mustajab). Nenek saya memilih Tok Wali puteh (TWP) yang tinggal di Wakaf Che Yeh untuk mendoakan saya. Pada umur saya 12 tahun, ayah membawa saya ke sana. Saya dimandikan & didoakan yang baik-baik. Kata ayah & ibu, saya mesti jadi baik kerana menjadi anak angkat TWP. Alhamdulillah, dengan berkat doanya, saya diberikan Tuhan hati yang baik, hati yang mencintai kebenaran & kebaikan.

Sekarang ibu saya sudah tua. Tetapi saya tetap menyayangi & mengasihinya. Setiap kali saya dapat menatap wajahnya, saya merasakan sebuah pemandangan yang sangat indah. Setiap kali saya dapat merenung matanya, saya mendapat sepenuh kasih sayang dari matanya.  

Setiap kali saya mencium tangannya, saya merasa seperti ibu memeluk erat diri saya. Itulah keindahan sebuah kehidupan. Ingatlah, shurga itu di bawah telapak kaki ibu.

PESANANKU
Wahai anak-anakku, wahai putra-puriku, janganlah engkau melupai ibumu. Saat engkau berjumpa dengannya, maniskanlah senyummu padanya. 

Kemudian ciumlah tangannya. Kucuplah selama yang kamu mahu. Tangan itulah yang banyak berjasa padamu. Tangan itulah yang menyuapimu sewaktu kecil. Tangan itulah yang menghalau nyamuk & serangga darimu..Tangan itulah yang membasuh najismu.

Kemudian tangan itulah yang berkerja untuk menyera kehidupanmu, menyekolahkanmu & membesarkanmu. Tangan itulah yang memasak makanan untukmu, yang membasuh pakaian untukmu & untuk memujuk hatimu. 

Kalau kamu merasa ada orang yang lebih istimewa daripada ibumu, ternyata kamu tersilap. Akalmu sudah tidak sihat, 

KEMBALILAH KEPADA IBUMU
Dia adalah insan istimewa yang paling istimewa. Dia adalah insan mulia yang mesti dimuliakan. Hatinya sentiasa jujur, sejujur-jujurnya kepadamu. Kembaliah kepada ibumu. Minta ampunlah kepadanya atas segala dosamu.  Dia seorang insan jujur yang sudi menerimamu kembali. Percayalah.

Wahai anak-anakku, wahai putra-putriku, jangan berlama-lama sangat meninggalkan ibumu tanpa ziarahmu atau telefonmu atau sms darimu. Ketuklah pintu hatinya dengan kasihmu padanya. Dia sangat rindu padamu. Dia sangat merindukanmu.  Dia tertunggu-tunggu dirimu.

Dia bukan mengharapkan duitmu, bukan juga hartamu, bukan juga rumahmu. Dia hanya ingin melihat dirimu. Ingin menatap wajahmu. Ingin merenung matamu. Ingin menyentuh kulitmu. Dan ingin merasai kehadiranmu. 

Disiapkan 18.11.2012    7.25 am.

No comments:

Post a Comment