GUGUR INDAH


Get Flower Effect

Friday 13 July 2012

RAHSIA MENGERAT KUKU


Ramai anak-anak muda zaman sekarang, terutama generasi Y suka mengerat kuku tanpa mengira hari. Mereka pakai semberono sahaja. Anak saya pun terikut-ikut juga sehingga saya selalu mengingatkannya dengan symbol JIK (Jumaat, Isnin, Khamis).

Mak dan arwah ayah saya selalu menjaga ketertiban ini. Kalau saya tersalah hari, mak akan bising-bising. Ayah saya tak bising, tetapi dia berleter sedikit selepas itu. Pendek cerita, saya dianggap salah kerana menyalahi JIK.

Sehingga sekarang, JIK merupakan singkatan kata yang mesti dipatuhi. JIK ini saya kesan dari zaman berzaman lagi. Dah jadi budaya dalam masyarakat Melayu beragama Islam, kuku hanya boleh dipotong dalam 3 hari istimewa sahaja.

Kebetulan saya menemui rahsia memotong  atau mengerat kuku menurut kitab tua. Lama sudah saya mencari, baru terjumpa.

Saya petik rahsia ini dari Kitab Pendinding Mukmin, karangan Habib Hamid Al-Kaf, ulamak Indonesia yang termasyhur itu.

Rasulullah S.A.W bersabda (yang ertinya),  barangsiapa mengerat kuku pada hari

SABTU = Nescaya keluar dari dalam tubuhnya OBAT dan masuk kepadanya PENYAKIT

AHAD = Nescaya keluar daripadanya KEKAYAAN dan masuk kepadanya KEMISKINAN.

ISNIN = Nescaya keluar daripadanya  GILA dan masuk kepadanya SIHAT

SELASA = Nescaya keluar daripadanya  SIHAT  dan masuk kepadanya PENYAKIT

RABU = Nescaya keluar daripadanya  WAS-WAS  dan masuk kepadanya KEPAPAAN

KHAMIS = Nescaya keluar daripadanya  GILA  dan masuk kepadanya  SEMBUH DARIPADA PENYAKIT

JUMAAT = Nescaya keluur daripadanya   DOSA-DOSANYA SEPERTI PADA HARI DIPERANAKKAN OLEH IBUNYA dan masuk kepadanya RAHMAT DARI ALLAH TAALA.

Walau bagaimanapun, terdapat sanggahan dari ulamak-ulamak tertentu berkenaan hal ini. Beliau yang dimaksudkan, Al-Ustaz Abdullah Zuqail menyebut beberapa perkara yang tidak ada dalil tentang memotong kuku, antaranya,

[1]  Mengkhususkan hari Jumaat untuk memotong kuku.,
[2]  Makruh memotong kuku pada malam hari,
[3] Orang yang sedang berpuasa tidak boleh memotong kuku,
[4] Larangan orang yang sedang haid dan janabah dari memotong kuku,
[5] Memotong kuku dengan cara-cara tertentu.

Berkata Ibn Daqiq al-¶Ied : ³Apa yang tersebar tentang memotong kuku dalam cara-cara tertentu, tidak ada asal baginya di dalam syariat. Adapun memulakannya dengan tangan kanan kemudian tangan kiri, maka ianya termasuk di dalam keumuman sabda Nabi s.a.w.

Dr. Abdul Wahab pula berkata :³Memotong kuku HARUS pada bila-bila masa dan tidak mengapa.´Wallahu ahlam.

Dari kitab Al-Jauharul Mauhub Wa Munabbahatul Qulub Jilid 1, sebagaimana yang ditulis oleh blogger terkenal, PakarHowTo dalam postnya, Panduan Adab Memotong Kuku, pada 2 February 2008 (8:00 am) menyelitkan beberapa perkara yang berguna dan menyokong isi kitab Pendinding Mukmin sebagaimana saya sebutkan di atas.

Di antara isi yang ditulis dan dikupas lanjut.

[1[. Baca Doa Ketika Memotong Kuku

[2]. Cara Potong Kuku Tangan (*Mengikut cara yang diajar oleh Syeikh Baijuri)

Dimulai dari jari telunjuk tangan kanan, kemudian jari tengah, jari manis, jari kelingking, berikutnya barulah ibu jari tangan kanan.

Kemudian seterusnya, dimulai dari kelingking tangan kiri, jari manis, jari tengah, jari telunjuk dan akhirnya ibu jari tangan kiri.

[3]. Cara Potong Kuku Kaki (* Mengikut cara yang diajar oleh Ibnu Rif’ah)

Dimulai dari kelingking kaki kanan dan seterusnya mengikut tertib jari sehinggalah kelingking kaki kiri yang terakhirnya.

[4]. Hari-hari Yang Disunatkan Memotong Kuku

Terdapat dalam sebuah hadith Nabi SAW bermaksud ;

“Barangsiapa memotong kuku atau mengerat kuku pada ;

SABTU = Mempusakai penyakit akilah (yang disebabkan banyak makan)

AHAD = Hilang berkat

ISNIN = Mempusakai alim fadhil (berilmu dan mempunyai kelebihan)

SELASA = Mempusakai kebinasaan

RABU = Mempusakai jahat perangai

KHAMIS = Mempusakai kaya

JUMAAT = Mempusakai ilmu dan lemah lembut. ”

KESIMPULAN : Terdapat kesamaan antara kalau ada pun perbezaan, hanya sedikit sahaja antara Hari Memotong Kuku dari kitab Pendinding Mukmin dengan yang tersebut dari kitab  Al-Jauharul Mauhub Wa Munabbahatul Qulub Jilid 1 di atas.

Di bawah saya bangkitkan kepada anda sebuah pertanyaan hamba Allah kepada seorang ustaz terkenal. Mari kita dengarkan soalan beliau.

SOALAN
Mohon pandangan saudara tentang perkara di bawah yang saya ambil dari sebuah blog.

Dari Al-mubarak bin Ali Ash-shairafi dari Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah S.A.W bersabda: “Barangsiapa memotong kuku pada hari sabtu nescaya keluarlah darinya penyakit dan masuklah padanya kesembuhan. Barangsiapa memotong kukunya pada hari ahad, nescaya keluarlah darinya kemiskinan dan masuklah padanya kekayaan. Barangsiapa memotong kukunya pada hari isnin, nescaya keluarlah penyakit dan masuklah padanya kesihatan. Barangsiapa memotong kukunya pada hari selasa nescaya keluarlah darinya penyakit sopak dan masuklah padanya ‘afiat. Barangsiapa memotong kukunya pada hari rabu, nescaya keluarlah darinya was-was dan ketakutan dan masuklah padanya keselamatan dan kesihatan. Barangsiapa memotong kukunya pada hari khamis nescaya keluarlah darinya penyakit kusta dan masuklah padanya afiat. Dan barangsiapa memotong kukunya pada hari jumaat nescaya keluarlah darinya dosa-dosa dan masuklah rahmat padanya.” (hadith riwayat ad-dailami dlm sunannya)

Kata Ibnul Jauzi dlm Al-Maudhu’aat, hadith ini adalah maudhu’. Ia adalah di antara hadith maudhu’ yang paling jelek. Dalam sanadnya terdapat orang yang majhul (maksudnya, tidak dikenali) dan orang yg dhaif (lemah).

Pada awal sanad terdapat Hannad An-Nasafi seorang yang tidak tsiqah (tidak boleh dipercayai) dan di akhir sanadnya ialah Abu Ishmah Nuh bin Abu Maryam. Nuh bin Abu Maryam ialah Nuh bin Yazid. Abu Ishmah seorang pembohong dan pembuat hadith. Hannad pula meriwayatkan hadith-hadith maudhu’ dan cerita-cerita bohong.

Demikian juga Kata Ibnu Iraq.

Kata Az-Zahabi dalam Mizan Al-I’tidal Fi Naqd Al-Rijal: Hannad bin Ibrahim ialah Abu Muzaffar An-Nasafi. Dia meriwayatkan banyak hadith selepas tahun 450-an tetapi ia meriwayatkan hadith-hadith maudhu’ dan cerita-cerita bohong.

Al-Hafiz As-Sakhawi dalam Al-Maqashidul Hasanati berkata: Tidak ada sebuah hadith pun yg sabit dari Rasulullah S.A.W mengenai cara memotong kuku dan mengenai penentuan hari-hari memotongnya.

JAWAPAN
Hadis tentang cara mengerat kuku serta kelebihannya secara mendalam tidak kita temui tetapi dalam menjaga kebersihan, Islam amat menitik berat dalam hal ini.

Oleh kerana kita tidak meletakkan Sunnah adalah satu kewajipan yang kita mesti ikut 100% tanpa melihat fadhilat yang akan Allah SWT berikan tetapi kita sentiasa mencari fadhilat pada mata kasar. Maka inilah yang akan berlaku, sesungguhnya apa yang Allah SWT firmankan dan apa jua Sunnah yang telah Rasulullah SAW sunnahkan pasti ianya perkara yang akan membawa kebaikan di dunia dan Akhirat 100%.

Allah SWT akan memberi fadhilat setiap perbuatan mengikut keadaan dan keperluan semasa setiap hamba Nya yang mukmin.

Memang banyak hadis secara sorehnya hanyalah menyarankan kearah penjagaan kebersihan termasuk kebersihan kuku sebagaimana hadis-hadis dibawah :

[1] Hadis Sunan Ibnu Majjah Jilid 1. Hadis Nombor 0295.
Mewartakan kepada kami Bisyr bin Hilal Ash-Shawwaf, mewartakan kepada kami Jaafar bin Sulaiman, dari Abu Imran Al Jauniy, dari Anas bin Malik, dia berkata: “Kami meluangkan waktu dalam mencukur misai, mencukur rambut bawah perut, mencabut rambut ketiak, dan memotong kuku-kuku, tidak membiarkan lebih dari 40 (empat puluh)hari.”

[2] Hadis Sunan Ibnu Majjah Jilid 1. Hadis Nombor 0294.
Mewartakan kepada kami Sahl bin Abu Sahl, dan Muhammad bin Yahya, Mereka berkata; mewartakan kepada kami Abul Walid, mewartakan kepada kami Hammad, dari Ali bin Zaid, dari Salamah bin Muhammad bin Ammar bin Yasir, dari Ammar bin Yasir, bahawasanya Rasulullah SAW. bersabda: “Termasuk fitrah adalah: 1. Berkumur, 2. Menghirup air ke hidung, 3. Bersiwak, 4. Memotong kumis misai, 5. Memotong kuku-kuku, 6. Mencabut bulu ketiak, 7. Mencukur rambut bawah perut, 8. Membasuh tempat-tempat yang terkumpul kotoran, 9. Membersihkan faraj/kemaluan dengan air, 10. Khitan”. Mewartakan kepada kami Jaafar bin Ahmad bin Umar, mewartakan kepada kami Affan bin Muslim, mewartakan kepada kami Hammad bin Salamah, dari Ali bin Zaid, seperti hadis di atas.

PENDIRIAN SAYA
Sepanjang saya belajar agama, saya mengutip cara mengerat kuku atau memotong kuku itu dari ayah bonda saya, dan dari guru-guru saya, dari guru-guru mereka dan sampailah kepada guru-guru mereka yang terdahulu. Mereka mengutip cara itu dari pondok-pondok  agama tempat mereka menadah kitab. Kami percaya bahawa JIK itu adalah hari-hari sunat mengerat / memotong kuku menurut hadis Nabi.

Segala kebenaran itu datangnya dari Allah. Hamba ini hambaMu yang dhaif. . 

1 comment:

  1. Jemput datang melawat, e-Kitabs
    https://www.facebook.com/photo.php?fbid=199746730191040&set=a.199746716857708.1073741828.194583644040682&type=1&theater

    ReplyDelete