GUGUR INDAH


Get Flower Effect

Tuesday 30 October 2012

HASAD DENGKI MEMBINASAKAN DIRI (SIRI 1)



HASAD DENGKI BERMULA DARI IBLIS

Orang yang mempunyai perasaan hasad dengki sentiasa berada dalam keadaan resah gelisah. Hatinya tidak pernah tenang tenteram. 

 

Di antara sebabnya, mungkin ia tidak senang dengan kejayaan orang lain yang  terus maju ke hadapan. 

 

Penyakit ini umpama satu virus bahaya yang telah merebak ke seluruh hati sehingga sukar diubati.


Benarlah apa yang dinyatakan oleh Nabi SAW: “Akan menjalar kepada kamu penyakit umat-umat terdahulu iaitu hasad dengki dan benci-membenci. Itu sebenarnya pencukur. Aku tidak menyatakan pencukur rambut, tetapi ia mencukur agama”. (riwayat At-Tirmidzi).

5 PERKARA YANG DIMURKAI TUHAN
Seorang cendikiawan berkata: ” Orang yang  memiliki perasaan hasad dengki  telah menentang Allah s.w.t. dengan lima perkara  iaitu:

[1] Kerana dia membenci nikmat Allah s.w.t. yang telah diberi kepada  orang lain.

[2] Dia tidak suka pembahagian Allah s.w.t. untuk dirinya seolah-olah dia berkata: “Mengapa Engkau bagiku  benda seperti ini ?”

[3] Dia bakhil terhadap kurniaan Allah s.w.t.

[4] Dia menghina waliyullah (kekuasaan ) sebab dia ingin mencabut nikmat Allah s.w.t. yang telah diberikan kepadanya.

[5] Dia telah membantu  iblis laknatullah.

Hasad dengki hukumnya haram dan termasuk dalam kategori dosa-dosa besar. Orang yang memiliki sifat ini dikira memiliki akhlak yang sangat tercela. Malah sifat hasad dengki ini merupakan salah satu sifat iblis.

Perkataan IBLIS itu berasal daripada “ublisa min rahmatan” (terusir daripada rahmat Allah). Demikian beratnya makna terusir itu, maka ia mendapat laknat Allah dari saat penciptaan Nabi Adam A.S sehinggalah ke hari kiamat. Demikian juga orang yang hasad dengki. Mereka mendapat laknat di atas perbuatannya.

Orang yang hasad dengki itu juga dilaknat oleh Tuhan. Maka berhati-hatilah. Jangan anda menentang Tuhan dengan sifat buruk yang dicetuskan oleh IBLIS LAKNATULLAH.

Sifat hasad dengki bukan sahaja boleh membahayakan fizikal malah lebih bahaya daripada itu, ia boleh merosakkan agama.

Allah berfirman: Jika kamu memperoleh kebaikan, nescaya mereka bersedih hati, tetapi jika kamu mendapat bencana, mereka bergembira kerananya. (Al-‘Imran: 120).

Lantaran kesan dari sifat hasad dengki ini sangat buruk, maka Allah memerintahkan kita berlindung daripada keburukannya sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: Dan dari kejahatan pendengki apabila ia dengki. (Al-Falaq: 5).

Rasulullah juga memperingatkan dalam hadis yang bermaksud: “Hati-hatilah kamu daripada hasad dengki kerana hasad dengki itu akan memakan semua amal kebaikan sebagaimana api memakan kayu kering atau rumput kering”. (Riwayat Imam Abu Daud).

Dalam hadis yang lain Rasulullah juga melarang sebagaimana sabdanya yang bermaksud: Janganlah kalian saling dengki (Riwayat Muslim)

Hasad dengki juga punca sengketa sesama adek beradek & saudara-mara, hanya kemaafan yang dapat menyatukan kembali ikatan keluarga

Mari kita selusuri kisah perdengkian ini dalam keluarga Nabi Yaakub A.S. Punca kepada kemelut  keluarga Nabi Yaakub A.S itu adalah disebabkan oleh keistimewaan yang diterima oleh Nabi Yusuf dan adiknya, Bunyamin daripada bapa mereka, sehingga lahir rasa iri hati & hasad dengki 10 saudara mereka yang lain.

Al-Quran merakamkan maksudnya: “(Kisah itu bermula) tatkala saudara-saudara Yusuf berkata (sesama sendiri): “Sesungguhnya Yusuf dan adiknya lebih disayangi oleh bapa kita daripada kita, padahal kita ini satu kumpulan (yang ramai dan berguna). Sesungguhnya bapa kita adalah dalam keadaan tidak adil yang nyata.” (Surah Yusuf: 8)

 Yusuf dan Bunyamin anak daripada isteri Nabi Yakub bernama Rahil. Ibnu Kathir dalam kitabnya, Qisas al-Anbiya mengulas ayat di atas dengan berkata:

 “Selanjutnya Dia (Allah) menceritakan perasaan dengki saudara Yusuf terhadapnya dan Bunyamin yang mendapat perhatian lebih banyak daripada orang tuanya berbanding mereka, padahal mereka satu kumpulan yang kuat. Mereka mengatakan: “Padahal kami lebih berhak dicintai dan disayangi daripada kedua-dua mereka, sesungguhnya bapa kami dalam keadaan tidak adil yang nyata,” iaitu kerana dia lebih mencintai dan menyayangi Yusuf dan Bunyamin daripada kami.”

Nabi Yakub mempunyai sebab untuk lebih mencintai dan menyayangi Yusuf.  “(Ingatlah peristiwa) tatkala Yusuf berkata kepada bapanya: “Wahai ayahku! Sesungguhnya aku bermimpi melihat 11 bintang dan matahari serta bulan; aku melihat mereka tunduk memberi hormat kepadaku.” (Surah Yusuf: 4) Menurut Nabi Yaakub A.S, ayat ini tanda Yusuf akan menjadi nabi dan rasul. Oleh itu, Baginda selalu menjaga dan memelihara Yusuf.


Kisah dengki antara keluarga ini menjadi punca dimasukkannya Surah Yusuf dalam senarai 114 surah al-Quran. Menurut Ibnu ‘Abbas RA bahawa sahabat meminta kepada Rasulullah SAW menceritakan (sesuatu yang memberi pengajaran), lalu turun ayat suci yang menceritakan perihal Nabi Yusuf AS.

Dalam surah ini ada kisah yang amat indah susunannya, amat benar kandungannya dan penuh hikmat serta pengajaran yang memberi iktibar. Ibnu Kathir dalam kitab yang sama menyatakan: “Berkaitan dengan keistimewaan Nabi Yusuf AS dan pelbagai peristiwa yang dialaminya, Allah menurunkan satu surah al-Quran. Perkara ini dimaksudkan agar semua hal yang dikandungnya terdiri daripada hikmat, nasihat, etika dan pelbagai kebijaksanaan dapat diambil dan dimanfaatkan kaum Muslimin.”

Kedengkian saudara sebapa Yusuf itu menjadi punca wujudnya konspirasi untuk membunuh Yusuf. “(Ramai antara mereka) berkata: “Bunuhlah Yusuf atau buang dia ke suatu tempat yang jauh, supaya perhatian dan kasih sayang bapa kamu tertumpu kepada kamu semata-mata dan supaya kamu sesudah itu menjadi orang yang baik dan berguna,” maksud ayat 9 Surah Yusuf. 

Mereka tiada pilihan dan jalan penyelesaian kecuali menyingkirkan Yusuf. Akhirnya konspirasi dilaksanakan, maka terjadi episod drama keluarga yang paling autentik kebenarannya dalam sejarah kemanusiaan. Al-Quran menyatakan maksudnya: “Selepas mereka pergi dengan membawanya bersama dan mereka sekata hendak melepaskan dia ke dalam perigi, (mereka pun melakukan yang demikian), dan Kami pula ilhamkan kepadanya: “Sesungguhnya engkau (wahai Yusuf, akan selamat, dan) akan memberitahu perbuatan mereka ini, sedang mereka tidak sedar (dan tidak teringat lagi kepadanya).” (Surah Yusuf: 15) 



Ibnu Abbas berkata: “Kelak engkau pasti akan menceritakan peristiwa ini kepada mereka pada saat mereka tidak mengenal mu lagi,” dan Nabi Yusuf sudah mempunyai kedudukan sangat mulia sebagai penguasa.

Dalam ayat berikutnya dinyatakan maksudnya: “Dan sesudah itu datanglah mereka mendapatkan bapa mereka pada waktu senja sambil menangis.”

Sesungguhnya ia satu episod konspirasi yang sempurna. Mereka membuang Yusuf ke dalam perigi, menunggu hingga senja berpura-pura menangis ketika berjumpa bapa mereka. Oleh itu, seperti dikatakan Ibnu Kathir, orang salaf pernah berkata, “Jangan kalian terpedaya oleh tangan orang yang berbuat zalim, berapa ramai pelaku kezaliman menampakkan diri dengan tangisan.”

Dalam kisah Yusuf bersaudara, kita perhatikan bagaimana saudara memfitnah dan mencederakan saudaranya sendiri disebabkan penyakit hasad dengki oleh saudara Yusuf. Kisah ini berlangsung berdekad lamanya sehingga ke suatu masa apabila al-Quran menerangkan maksudnya: “Maka tatkala mereka (Nabi Yakub dan keluarganya) masuk (ke Mesir) menemui Yusuf, Yusuf segera menyambut serta memeluk kedua ibu bapanya, sambil berkata: “Masuklah kamu ke negeri Mesir, insya-Allah kamu berada di dalam aman.” (Surah Yusuf: 99)

Nabi Yusuf memaafkan perbuatan saudaranya dengan katanya bermaksud: “Yusuf berkata: “Kamu pada hari ini tidak akan ditempelak atau disalahkan (mengenai perbuatan kamu yang terlanjur itu), semoga Allah mengampunkan dosa kamu dan Dialah jua Yang Maha Mengasihani daripada segala yang mengasihani.” (Surah Yusuf: 92)

Demikianlah pernyataan maaf dari Nabi Yusuf A.S telah mengakhiri segalanya. Akan tetapi tentu anda tertanya-tanya. Bagaimanakah cara untuk menghadapi mereka yang terus menerus berdengki kepada kita? Bagaimana caranya?

Bolehkah kita bersabar dengan mereka, di sebalik hasad dengki, penghinaan, kata nista, umpat keji & kejahatan mereka terhadap kita. Untuk mengetahuinya, tunggu entri kami berikutnya. HASAD DENGKI MEMBINASAKAN DIRI (SIRI 2)

No comments:

Post a Comment