GUGUR INDAH


Get Flower Effect

Wednesday 31 October 2012

HASAD DENGKI MEMBINASAKAN DIRI (SIRI 2)



Terima kasih tak terhingga kepada peminat kesayangan blog saya kerana memberikan sokongan baik kepada entri saya sebelum ini, HASAD DENGKI MEMBINASAKAN DIRI (SIRI 1).

Semoga sokongan anda menaikkan lagi semangat & komitmem saya untuk menulis. Sebelum saya meneruskan lanjutan tulisan ini, satu berita mengemparkan telah berlaku sekitar Daerah Machang.

Dua orang perompak dipercayai telah mati ditembak polis dekat Kg Kemuning, Machang. Khabarnya, mereka merempuh sekatan polis di RKT Paloh, Gua Musang sebelum dihalang oleh pihak polis di Machang. Dalam kejadian di RKT Paloh, seorang polis telah cedera ditembak perompak berkenaan.

Demikian maklumat yang saya terima sebaik sahaja saya selesai mesyuarat pada pukul 1.30 pm tadi.  Dengar khabarnya juga, 2 orang lagi berjaya meloloskan diri. Wallahu ahlam.

Merompak, menyamun, meragut, mencuri dan seumpamanya adalah perbuatan yang berpunca dari ketamakan nafsu. Sementara hasad dengki, ujub, sum’ah & riya adalah perbuatan yang bersumber dari buruk perangai IBLIS. Kedua-dua jalur perangai itu adalah terkutuk & dilaknat oleh Tuhan.

Kata Imam Al-Ghazali, hasad dengki ialah sebesar-besar kejahatan manusia yang dicela oleh syarak. Katanya lagi, "Ketahuilah hasad dengki itu haram dan maknanya ialah engkau suka hilang nikmat daripada orang yang engkau dengki atau turun bala kepada orang itu," – (Hidayatus Salikin 206).

Sifat hasad itu mendatangkan kemurkaan Allah. Ia boleh membinasakan diri seseorang dan amalannya. Rasulullah bersabda bermaksud: “Takutlah kamu semua akan sifat dengki. Sesungguhnya dengki itu memakan segala kebaikan sebagaimana api memakan kayu bakar.” – (Riwayat Abu Daud daripada Abi Hurairah – Riadus Salihin 4:1441)

Kisah Nabi Yusuf dalam entri pertama, HASAD DENGKI MEMBINASAKAN DIRI (SIRI 1) menunjukkan 2 produk yang bebeza sama sekali. Nabi Yusuf yang dihasad dengki mendapat beberapa kelebihan seperti berikut.

[1] Dia dijaga & disayangi oleh keluarga angkatnya sementara saudara-saudara pedengkinya tinggal dalam keadaan asal & berusaha sepanjang waktu untuk mendapatkan kasih sayang Nabi Yaakub A.S   

[2] Dia mendapat lingkungan kehidupan yang selesa & penuh kebangsawanan, sedangkan saudara-saudara pendengkinya hidup dalam persekitaran yang tak berubah. Mereka kekal sebagai petani sehinggalah mereka bertemu Nabi Yusuf di Mesir    

[3] Dia mendapat cinta seorang wanita cantik dan kaya tanpa dia bersusah payah mendapatkannya, sedangkan saudara-saudara pendengkinya perlu bekerja keras untuk kahwin & membina kehidupan berkeluarga.

[4] Dia mendapat kekuasaan (sebagai Menteri Kewangan Mesir) sedangkan saudara-saudara pendengkinya berterusan hidup sebagai petani. Dia meningkat maju dalam karier hidupnya sedangkan mereka sebaliknya.

[5] Dia dapat bertemu dengan ibubapanya & adeknya Buniyamin, sedangkan saudara-saudara pendengkinya gagal memisahkan mereka buat selama-lamanya.

[6] Tuhan memberikan mukjizat kepada Nabi Yusuf A.S untuk menyembuhkan mata Nabi Yaakub A.S melalui bajunya. Sedangkan saudara-saudara pendengkinya hanya menambah berat kedukaan hati ayahanda mereka & telah menyebabkan dia buta bertahun-tahun lamanya.

[7] Dia mendapat nama yang baik di dunia & akhirat. Bahkan namanya tercatat sebagai salah satu surah Al-Quran (Surah Yusuf), sedangkan saudara-saudara pendengkinya mendapat celaan. Nasib baik, mereka mendapat kemaafan dari Nabi Yusuf A.S di atas perbuatan mereka.

Mereka yang ditimpa penyakit hasad dengki ini merasakan kejayaan atau kelebihan orang lain itu sebagai ancaman terhadap dirinya atau sebagai penghalang kepadanya untuk maju ke hadapan. Lihatlah contoh buruk yang ditunjukkan saudara-saudara pendengki Nabi Yusuf A.S.

Adakah kita akan mengikuti jalan kisahnya untuk menzalimi saudara kita dulu kemudian bertaubat atau kita terus berbuat baik terhadap mereka kerana siapakah yang dapat menjamin kita dapat bertaubat kelak? Wallahu a’lam.

Dalam institusi keluarga, perasaan hasad dengki mungkin boleh berlaku di kalangan adik-beradik, ipar-duai dan sebagainya. Ia akhirnya menyebabkan hubungan kekeluargaan menjadi renggang dan semakin jauh. Orang yang hasad dengki ini biasanya pandai bermanis muka, bijak berbicara, bahkan pandai menggunakan TANGISAN AIRMATA untuk melariskan cerita mereka.

Lihatlah kepada entri saya, HASAD DENGKI MEMBINASAKAN DIRI (SIRI 1) untuk mengetahui makna tangisan itu. 

Pejabat atau tempat kerja juga salah satu tempat berleluasanya penyakit hasad dengki ini. Hal ini dapat diperhatikan apabila menjelang musim kenaikan pangkat, perolehan bonus dan sebagainya.

Cara yang paling mudah untuk memuaskan hatinya adalah dengan mencari kesalahan orang lain. Tujuannya adalah untuk mencalar reputasi orang yang didengki di kalangan rakan-rakan sepejabat mahupun majikan.

Suasana ini akan berlanjutan sehinggalah ada yang sanggup menuduh rakan-rakan sekerja dengan tuduhan melampau serta ada yang sanggup untuk melemparkan fitnah semata-mata hasad dengki dengan kelebihan yang diberikan oleh Allah SWT kepada orang lain.

Semuanya adalah untuk memastikan kedudukannya tidak tergugat sekali gus menjamin laluannya untuk berada di kemuncak terbuka luas.

PENGALAMAN PRIBADI 1
Semenjak saya tinggal di sebuah daerah kecil di Machang  pada Disember 2008, saya telah diberi kepercayaan menjadi Pengerusi Surau pada April 2009. Sebagai orang luar, saya teragak-agak juga.

Ceritanya agak panjang bagaimana saya dilantik. Semuanya bermula bila orang-orang kampong tidak sukakan Imam Tua merangkap Pengerusi Surau. Lalu depa mengadakan mesyuarat. Lalu dilantik 3 orang Imam. Imam Tua merajuk & tak mahu bertugas. Imam No.2 lari ke Perak kerana ada urusan. Tinggal saya sebagai Imam No.3.

Saya pun menjalankan tugas saya sebagai Imam No 3 atas kehendak Imam No 2 sebelum dia pergi ke Perak. Rupa-rupanya bukan sekejap dia di sana. Hampir 6 bulan. So, untuk memudahkan kerja, saya membuat mesyuarat bagi mengemaskan kedudukan organisasi surau. Masa itulah, mereka melantik saya sebagai Pengerusi Surau.  

Sebagai orang luar, tentu ada yang tak suka & berkenan pada saya. Ada seorang Hamba Allah (saya namakan Z sahaja) tidak sukakan saya. Dia ini dah 26 tahun tetapi belum berkahwin. Selalu berjubah, berserban & rajin membaca Al-Quran tetapi bercita-cita besar mahu menjadi imam solat & menguasai surau.

Kerana dengkinya pada saya, Z menjaja cerita ke sana ke mari mengatakan saya orang luar. Dia juga menyebar cerita bahawa pengetahuan agama saya bukanlah tinggi sangat dan sebagainya. Bengkak hati saya melihat wajahnya & perangainya.

Bukan itu sahaja, bahkan dia meracun perihal diri saya ini kepada ustaz-ustaz yang mengajar di surau kami. Jahat betul perangainya. Bila tak Berjaya juga, dia menghantar satu senarai Jawatankuasa Bayangan kepada pihak masjid yang berdekatan.

Bertahun-tahun dia dengki kepada saya. Bahkan kalau saya menjadi imam solat, dia rela balik selepas mengiqamahkannya. Bukan sekali, tetapi beberapa kali. Tetapi Tuhan Maha Kaya, majority orang kampong tetap menyokong saya. Depa pun menyabarkan saya. “Ustaz, jangan ambil hati sangat. Z itu budak XXXX”.

Saya masih ingat, semasa Imam No 2 balik semula ke kampong, dia cuba berbaik-baik dengan beliau dan cuba menusuk jarumnya. Tetapi Imam No.2 itu manusia berbudi luhur & bersih hatinya. Semuanya tak jalan. Kemudian, dia cuba mencucuk kiri & kanan, tetapi semuanya tetap di belakang saya.

Baru-baru ini, saya ingin merehatkan fikiran & meletak jawatan sebagai pengerusi Surau setelah 3 tahun memegangnya. Z sangat gembira. Dalam masa beberapa hari saya tak ke surau, dia cuba memujuk Imam Tua yang asal supaya menganti saya semula. Maka hadirlah Imam  Tua tersebut ke surau setelah bertahun-tahun menyepi diri.

Tetapi Tuhan Maha Adil & Maha Berkuasa. Orang kampong tetap menolaknya. Kemudian dia cuba memujuk Imam No 2 supaya menjadi pengerusi menggantikan saya. Tetapi dia menolaknya. Selama 2 minggu, surau saya tidak mempunyai pengerusi. Akhirnya, Imam No.2 (selaku Timbalan Pengerusi) berserta AJKnya menolak perletakan jawatan saya. Mereka tetap mengkehendaki saya sebagai pemimpin mereka.

Saya menangis pada saat saya meletak jawatan.  Saya merasa seperti berdosa kepada Allah S.W.T. Sebenarnya  saya ingin berehat. Ada beberapa sebab. [1] Saya sibok dengan tugasan di sekolah [2] Kurang sihat, maksudnya saya mempunyai beberapa penyakit iaitu Darah Tinggi, Kencing Manis & Jantung dan [3] Ingin memberi peluang kepada orang lain memimpin surau.

Tetapi Tuhan tetap memilih saya. Dia mentakdirkan saya dipilih semula. Demikianlah kisah saya yang hampir sama maksud kesudahannya seperti Nabi Yusuf A.S. Jika hati kita bersih, insyaallah, kita akan selamat, disayangi, dihormati & mendapat kepercayaan dalam masyarakat. Pendengki pula tentunya akan rugi & dibenci. Mereka akan kehilangan apa yang mereka mahu.   Subhanallah.

No comments:

Post a Comment