GUGUR INDAH


Get Flower Effect

Friday 28 September 2012

IMAM MAHDI SEMAKIN DEKAT (SIRI 2)



Benarkah Mereka Itu Al-Mahdi dan Pemuda Bani Tamim?


Saya terdiam sebentar takkala membaca kenyataan di atas. Adakah benar Nasser Mohamed itu Imam Mahdi (IM) dan Abdul Aziz Muhammad Nashir itu Pemuda Bani Tamin (PBT)?.

Kedua-duanya dari sebuah negara di Asia Tenggara. Kedua-duanya berbangsa Melayu dan dari rumpun Melayu.. Dan saya telah menolak kewujudan IM dari bangsa Melayu dan rumpun Melayu. Seperti telah saya jelaskan dalam IMAM MAHDI SEMAKIN DEKAT (SIRI 1), IM itu pernah tinggal di Iraq dam pernah dikhianati oleh Saddam Hussin.

Tuan punya asal entri ini adalah seorang ustaz. Dialah yang mencabar kesahihan kedua-duanya dengan lontaran soalan di atas. Mari kita dengarkan sanggahannya.

Tulisan ini dihidangkan dalam bentuk perbincangan, bukannya argumentasi. Oleh itu saya akan membincangkan pro dan kontra, menyatakan kecenderungan peribadi saya jika perlu, dan lebih suka jika pembaca dapat membuat pertimbangan sendiri ke atas maklumat-maklumat yang dihidangkan. Tulisan ini juga dibuat tanpa saya merujuk kepada mana-mana tulisan berkaitan kerana setakat ini saya belum jumpa mana-mana orang yang menghuraikannya dengan panjang lebar. Oleh itu, maklumat-maklumat dalam tulisan ini tidak mustahil mengandungi kelemahan dan kesalahan.

2.0 MENILAI PEGANGAN NASSER MOHAMED (AL-MAHDI)

2.1 WAJAH AL-MAHDI
Saya ada melihat beberapa keping gambar yang dikatakan wajah Al-Mahdi iaitu Nasser Mohamed. Melihatkan pada hidungnya yang mancung, memang sudah kena dengan isyarat hadith Nabi. Tapi, bahagian dahinya tidak sama kerana dahinya jenis sempit sedangkan dahi Al-Mahdi luas.

“Al-Mahdi itu dahinya luas dan hidungnya mancung.” (Abu Daud)


2.2 KEMAKSUMAN
Nasser Mohamed mengakui dirinya tidak maksum. Bahagian ini memang kita persetujui. Tetapi dia menambah pula, bahwa tidak ada sesiapa pun yang maksum kecuali Allah. Bahagian ini janggal bunyinya, kerana kita sedia maklum yang para nabi bersifat maksum. Atau mungkin juga Nasser Mohamed mempunyai definisi ‘maksum’ yang lain daripada yang biasa kita fahami.

2.3 ILMU LADUNI
Katanya dia menerima ilmu terus daripada Allah sebagaimana Nabi Sulaiman pernah menerimanya. Ilmu ini tidak melalui perantaraan Malaikat Jibril. Oleh itu dia bukan rasul atau nabi. Dalam kata lain, ilmu yang dimaksudkan oleh Nasser Mohamed ialah ilmu laduni. Bahagian ini kita boleh pertimbangkan (boleh dipertimbangkan bukannya bermaksud boleh dipercayai terus).

2.4 KHULAFA AR-RASYIDIN
Nasser Mohamed menyanjung Saiyidina Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali. Hal ini menunjukkan dia bukanlah penganut fahaman Syiah. Namun begitu dia memandang keutamaan lebih terletak pada Saiyidina Ali berbanding tiga orang lagi khalifah. Hal ini tidak mengejutkan kita kerana memang ramai ahli masyarakat Yaman yang memandang Saiyidina Ali lebih afdhal dan lebih utama untuk menjawat jawatan khalifah selepas pemergian Rasulullah saw. Namun begitu, dengan pemahaman sebegitu sahaja tidaklah membuatkan mereka terkeluar daripada Ahli Sunnah wal Jamaah. Pandangan majoriti ulama ialah Saiyidina Ali bukan yang terafdhal atau paling utama, namun ada juga beberapa pandangan lain yang boleh dikira terpencil seperti lebih afdhal dan utamanya Fatimah binti Rasulullah dan Saiyidina Abbas.

2.5 HOLLOW EARTH
Menurut Nasser Mohamed, Hollow Earth ialah satu terowong di bawah tanah yang memiliki dua pintu. Satu pintu terletak di Utara dan satu lagi di Selatan. Di sinilah tempat asal Nabi Adam sebelum baginda dihantar keluar ke bumi.

Ramai umat Islam percaya tempat asal Nabi Adam ialah di syurga. Namun begitu ada juga yang mengatakan bahawa tempat itu bukannya syurga. Ia lebih kepada sebuah taman atau kebun yang indah. Sebab itulah ia disebut sebagai “jannah”, yang bermaksud kebun. Jannah ini tidak sama dengan Jannah syurga. Pada zaman itu, syurga sebenar belum dibangunkan. Kalau sudah diwujudkan pun, ia terletak di tempat yang lain. Bukankah Tuhan telah berjanji bahawa mana-mana manusia yang masuk ke dalam syurga, tidak akan keluar-keluar lagi? Padahal Nabi Adam dan Hawa dikeluarkan dari jannah.

“Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa itu berada dalam jannah dan (berhampiran) mata air.” (Al-Hijr : 45)

“Mereka tidak berasa letih di dalamnya dan mereka tidak akan dikeluarkan daripadanya.” (Al-Hijr : 48)

Tuhan juga mengatakan bahawa di dalam syurga tidak akan terdengar perkataan yang sia-sia, yang tidak elok. Tapi Adam dan Hawa terfitnah dengan kata-kata Iblis di dalam jannah itu sehinggakan mereka diusir keluar.

“Dalam jannah na’im (dalam syurga kenikmatan).” (Al-Waqi’ah : 12)

“Di sana mereka tidak mendengar percakapan yang sia-sia ataupun yang menimbulkan dosa.” (Al-Waqi’ah : 25)

Kemudian, jika benar jannah yang diduduki Adam dna hawa itu syurga, bagaimana Iblis yang enggan bersujud kepada Adam sebelum itu boleh masuk ke sana lalu menghasut Adam dan Hawa?

Kata Iblis : “Tuhan kamu hanya melarang kamu berdua mendekati pohon ini…” (Al-A’raf : 20)
Perkataan “pohon ini” menunjukkan dekatnya Adam, Hawa dan Iblis dengan pohon larangan itu. Jika jauh, Iblis akan menyebutnya sebagai “pohon itu”.

Berdasarkan maklumat-maklumat ini, tidak mustahil juga mereka dahulunya berada di sebuah alam berupa taman atau kebun, bukannya syurga sebenar. WaAllahua’lam.

Bible pula menyatakan yang Adam dan Hawa berada di sebuah taman yang dikenali sebagai Taman Eden (ada kaitan dengan Syurga ‘Adn/ ‘Adnin ataupun wilayah Aden/Eden di Yaman?). Nampaknya maklumat daripada Bible sedikit-sebanyak menyokong pandangan di atas. Kajian tentang hal ini masih berterusan.

Berbalik kepada Nasser Mohamed, dia percaya yang Nabi Adam dan Hawa asalnya bukan tinggal di syurga, tetapi di tempat lain. Hal ini bolehlah kita beri pertimbangan yang sewajarnya. Namun apabila dia mengatakan tempat itu ialah di bawah tanah, sukar juga untuk kita memberi pertimbangan. Kalau dikatakannya tempat itu berada di Bukit Qaf, ataupun di kayangan, ataupun di alam jin, rasanya lebih selesa untuk kita beri sedikit ruang pertimbangan berbanding dikatakannya “ di dalam bumi”.

Ayat Al-Quran pula berbicara tentang keluarnya Adam dari Jannah ke muka bumi sebagai “turun”. Maksudnya Nabi Adam turun dari suatu tempat yang tinggi, bukannya keluar dari bawah bumi. Sekalipun ‘turun’ dalam ayat itu hendak kita kaitkan dengan turunnya darjat dan bukan turunnya lokasi, keluar dari bawah bumi masih tidak enak didengar untuk dikaitkan dengan ‘turun’.

“(Allah) berfirman : “Turunlah kamu (wahai Adam dan Hawa).  Kamu akan saling bermusuhan satu sama lain. Bumi adalah tempat kediaman dan kesenanganmu, sampai lah waktu yang ditentukan.” (Allah) berfirman : “Di sana (bumi) kamu hidup, di sana kamu mati, dan dari sana (juga) kamu akan dibangkitkan.” (Al-A;raf : 24-25)

Sekiranya Adam dan Hawa berada dalam perut bumi iaitu di Hollow Earth, pastinya Tuhan akan mengatakan : “Di sini kamu hidup, di sini kamu mati, dan dari sini kamu akan dibangkitkan.” Hal ini kerana Hollow Earth berada dalam stau planet dengan permukaan bumi yang kita duduki hari ini. Apabila Tuahn menggunakan perkataan “di sana”, maksudnya antara tempat asal Nabi Adam dengan bumi, jaraknya sangat jauh.

Menurut Nasser Mohamed lagi, satu hari di Hollow Earth sama panjangnya dengan setahun di bumi. Di sini pelik bunyinya. Jika Hollow Earth berada di dalam bumi, tentulah ia bergerak (sama ada mengelilingi ataupun dikelilingi objek-objek angkasa lepas yang lain) dengan kadar yang sama. Maka masanya sepatutnya sama. Bahagian ini kurang jelas kerana tidak banyak maklumat yang diberikan oleh Nasser Mohamed.

2.6 YAKJUJ DAN MAKJUJ
Tambahan lagi, Nasser Mohamed percaya Hollow Earth itu didiami oleh makhluk-makhluk tertentu termasuklah Yakjuj dan Makjuj. Maknanya selama ini kaum Yakjuj dan Makjuj berada di dalam perut bumi. Suatu hari nanti mereka akan keluar merosakkan atas muka bumi.

Bahagian berkaitan Yakjuj dan Makjuj ini kalau dibincangkan secara terperinci akan menjadi sangat panjang. Oleh itu saya ringkaskan perbincangan tentangnya di sini dengan mengatakan bahawa sukar untuk saya menerima yang Yakjuj Makjuj berada di dalam tanah. Hal ini kerana kita tahu Zulqarnain membuat penghadang kepada Yakjuj Makjuj di antara dua gunung, maksudnya Yakjuj Makjuj berada di sebalik sana kedua-dua gunung tersebut, bukannya di dalam tanah. Suatu hari nanti, tentera Yakjuj Makjuj akan meluru dari segenap tempat yang tinggi. Jika mereka keluar dari dalam bumi, tentulah tak sesuai untuk dikatakan mereka meluru turun dari segenap tempat yang tinggi.

“Hingga apabila dibukakan Yakjuj dan Makjuj, mereka (datang/turun) dari seluruh tempat yang tinggi.” (Al-Anbiya’ : 96)

“Sesungguhnya kamu merasakan kamu tidak mempunyai musuh, sedangkan kamu sentiasa membunuh musuh kamu, sehingga datang Yakjuj dan Makjuj dalam keadaan muka yang lebar dan mata yang kecil berwarna kekuning-kuningan, bersegera (meluru) dari tempat yang tinggi, seolah-olah muka mereka lebam seperti terkena pemukul.” (Ahmad)

Seterusnya Nasser Mohamed memaklumkan bahawa Yakjuj dan Makjuj belum keluar ke muka bumi kerana Hollow Earth dipisahkan bahagian Utara dengan Selatannya oleh Tembok Zulqarnain, sebuah tembok besi bersalut tembaga. Bahagian ini pun sukar untuk saya berikan ruang pertimbangan kerana takkanlah Zulqarnain membina tembok di dalam tanah, atau di alam ghaib.  Katanya lagi, mereka akan keluar apabila Planet Nibiru/ Sijjil/Saqar melewati bumi suatu hari nanti kerana ketika itu Tembok Zulqarnain akan termusnah.

Namun begitu, sabagaimana yang saya maklumkan pada bahagian pendahuluan artikel ini, hujah yang pro tidak saya tinggalkan. Ada sebuah hadith yang boleh kita katakan sebagai penguat kepada kepercayaan mengatakan Yakjuj dan Makjuj berada di dalam tanah iaitu :

“Sesungguhnya Yakjuj dan Makjuj menggali tembok itu setiap hari sehingga mereka hampir dapat melihat cahaya matahari. Berkata dalam kalangan mereka : “Marilah kita pulang dan datang semula esok……” (Ahmad, Turmizi)

Yakjuj dan Makjuj menggali setiap hari sehingga hampir dapat melihat cahaya matahari. Di sini mungkin maksudnya mereka menggali dari lokasi yang tidak dipancar cahaya matahari. Mungkinkah mereka di dalam tanah? WAllahua’lam.

“Nabi saw bangkit dari tidurnya dalam keadaan muka merah, baginda berkata : “Tiada Ilah selain Allah! Celakalah kaum Arab yang melakukan kejahatan. Sesungguhnya makin hampir. Telah terbuka hari ini penutup Yakjuj dan Makjuj.” Dan baginda membuat isyarat bulatan. (Ahmad)

Terbukanya penutup Yakjuj dan Makjuj ini bersesuaian dengan keluarnya suku kaum Khazar dari utara (Rusia) melalui pergunungan Kaukasus, iaitu dari Celahan Darial (Darial Pass). Setakat ini saya cenderung mengatakan di situlah lokasi tembok besi bersalut tembaga yang dibina oleh Zulqarnain, berbanding lokasi-lokasi lain. Penghalang Yakjuj Makju ini melebar dari Tembok Besar China sehinggalah ke Eropah.

Kebanyakannya penghalang semulajdi berupa gunung-ganang dna kawasan tinggi. Tapi apabila Rasulullah bermimpi tentang ‘penutup’ kepada Yakjuj Makjuj, maksudnya lebih kepada suatu binaan, bukannya penghalang semulajadi. Kaum Khazar ini melakukan kerosakan di tempat-tempat yang mereka pergi dan berjaya mengalahkan tentera Islam. Bangsa Yakjuj Makjuj itu sangat luas, dna kaum Khazar ialah salah satu daripadanya. Maksudnya kaum Khazar ialah kaum Yakjuj Makjuj pertama yang berjaya meloloskan diri dan melakukan kerosakan lalu kemudiannya diikuti oleh kaum-kaum Yakjuj Makjuj yang lain.

Berdasarkan hujah ini, Yakjuj Makjuj itu bukanlah makhluk aneh, makhluk asing, raksasa dan seumpamanya, tetapi suku bangsa manusia yang tidak bertamadun. Pada zaman silam, bangsa-bangsa yang tinggal di utara dunia hidup tidak bertamadun. Tamadun-tamadun awal dunia semuanya terletak di selatan daripada penghalang Yakjuj Makjuj seperti tamadun China, Mesopotamia, Yunani, Greek, Mesir, Mohenjodaro dan lain-lain.

3.0 MENILAI PEGANGAN ABDUL AZIZ MUHAMMAD NASHIR (PEMUDA BANI TAMIM)

3.1 BANI TAMIM.
Apakah maksud ‘Pemuda Bani Tamim’? Apakah kaitannya dengan Bani Tamim? Allah tentunya tidak akan secara sia-sia menisbahkan Sang Pemuda kepada Bani Tamim. Tentu ada kaitannya. Jika tidak, tentu Allah akan menyebutnya sebagai ‘Pemuda’ sahaja ataupun dinisbahkan-Nya kepada yang lain.

Abdul Aziz yang mengakui dirinya sebagai Pemuda Bani Tamim tidak pula menjelaskannya kepada kita. Adakah ia bermakud pemuda itu berketurunan Bani Tamim? Jika benar, Abdul Aziz mestilah memaparkan salasilahnya yang jelas sehinggalah bertemu dengan seorang lelaki dari Bani Tamim. Sekurang-kurangnya Abdul Aziz hendaklah menjelaskan kaitan dirinya dengan Bani Tamim.

“Akan keluar dari sulbi ini (keturunanku) seorang pemuda yang akan memenuhi bumi ini dengan keadilan (iiatu Al-Mahdi). Maka apabila kamu meyakini yang demikian itu, hendaklah kamu bersama-sama Pemuda Bani Tamim. Sesungguhnya dia datang dari Timur dan dialah pemegang panji-panji Al-Mahdi.” (Thabrani)

Namun sefaham saya, hadith ini bukanlah hadith yang kukuh. WaAllahua’lam.

3.2 MALAM MASJIDIL HARAM
Ketika diri Abdul Aziz dimasuki oleh sesuatu (yang kemudiannya diyakininya sebagai Allah) di Makkah, dia berlari ke Masjidil Haram pada pukul 1 pagi untuk mendapatkan bantuan, tetapi tidak ada sesiapa di Masjidil Haram ketika itu. Benarkah di Masjidl Haram tidak ada seorang manusia pun pada pukul 1 pagi?

Para pembaca  yang pernah pergi ke Makkah di luar musim haji tentu tahu suasana tengah malam di Masjidil Haram.

3.3 BERHENTI KALA AZAN SUBUH
Sesuatu (yang diyakininya sebagai Allah) yang masuk ke dalam badannya itu membuatkan Abdul Aziz berasa sakit, dan sesuatu itu berkata-kata kepada hatinya “A-Qiamah” berulang kali. Keadaan itu berterusan sehinggalah ke waktu fajar. Apabila azan Subuh berkumandang, sesuatu itu berhenti berkata-kata walaupun sakitnya masih ada.

Sepanjang pengalaman saya merawat orang (saya seorang mu’allij), biasanya yang berhenti membisik atau berkata-kata pada pesakit kala azan dikumandangkan tidak lain ialah jin. Dalam kes Abdul Aziz ini, tak tahulah saya.

PENDAPAT SAYA
Mendengar ocehan & cerita yang pelbagai dari kedua-dua hamba Allah di atas, kemudian diikuti oleh kupasan ustaz yang berpengalaman itu, saya mendapati kedua-duanya mempunyai keinginan besar untuk menjadi IM & PBT.

Mereka mendahului ketetapan tuhan dengan mengisytiharkan diri mereka masing-masing. Saya rasa sanggahan dan argumentasi ustaz di atas sudah cukup kuat. Dan saya dengan hormatnya MENOLAK  semua dakwaan di atas.

Sekian terima kasih. 28.9.2012     3.12 pm.      

No comments:

Post a Comment