GUGUR INDAH


Get Flower Effect

Wednesday, 30 January 2013

BAGAIMANA MENGHADAPI KEBODOHAN MANUSIA?


BAGAIMANA MENGHADAPI KEBODOHAN MANUSIA?

Di antara amalan zikir saya ialah Ya Hamiid (Yang Maha Terpuji) yang selalu saya baca 100X setiap selepas solat. Kalau saya sibok sangat, saya membacanya 100X selepas Isyak. Fadhilat zikir Asmaul Husna ini ialah untuk menjadikan diri kita hamba Allah yang soleh, yang baik dan yang sentiasa dekat dengan Tuhan

Kata ulamak-ulamak silam, amalan ini bertujuan supaya segala perbuatan kita itu terpuji dan diredai Tuhan. Inilah satu cara kita dapat mengikis sifat-sifat mazmumah dalam tubuh kita & mengantikannya dengan sifat-sifat mahmudah yang elok dan cantik.

Petang tadi, isteri saya memaklumkan sesuatu kepada saya. Katanya, ada seorang hamba Allah memburuk-burukan nama saya di dalam fb. Dia ingatkan saya melenting marah. Tetapi saya cool sahaja. Saya senyum macam tak ada apa-apa.

Sebenarnya, saya sudah lama tahu tentang perangai hamba Allah tersebut. Sejak saya diserahi tugas memimpin surau di tempat saya tinggal sekarang, dia memang sakit hati dengan saya. Banyak sebabnya. Salah satunya kerana saya “orang luar” yang kononnya tidak wajar mentadbir surau di kampong tersebut.

Sekarang ini, dah masuk tahun kelima saya  mentadbir surau tersebut. Program tetap hidup, kuliah tetap berjalan & solat 5 waktu tetap diamarahkan seperti biasa. Tak ada apa-apa masalah pun dengan kepimpinan saya. Semuanya lancar & indah, kecuali dia.

Pada tahun pertama kepimpinan saya, saya bersangka baik kepada semua orang. Saya anggap semua orang di sekeliling saya baik dan “sedia berkerjasama”. Tetapi selepas itu, saya mula nampak pelbagai corak dan aliran. Ada yang mengadap saya dengan seluruh muka. Dan ada juga yang mengerling saya dengan ekor mata.

Dalam menghadapi situasi ini, saya berpegang kepada satu Hadis Nabi SAW yang berbunyi (l.k) :”Sesungguhnya roh manusia itu ibarat satu pasukan. Kalau ia berjumpa (tabiat) roh yang sama dengannya, maka ia akan bercantum. Kalau sebaliknya, maka ia akan berpisah”. Hadis ini dipegang dan dinyatakan oleh Salman Farisi dalam satu peristiwa di zamannya.

Memang benar, manusia yang baik akan bercantum sesama mereka walau pun mereka datang dari tempat yang berbeza. Sebagai contoh, masjid (tempat paling baik di atas muka bumi) dipenuhi pula oleh “manusia baik” yang hatinya penuh api rindu kepada Tuhan. Mereka tidak mengenal sesama mereka, tetapi Tuhan menghimpunkan mereka di dalam bekas yang baik dan putih.

Kemudian, mereka yang jahat pula akan berkumpul sesama mereka sehingga menjadi akrab kerananya. Perompak tidak mungkin bersahabat dengan muazzin. Pencuri tidak mungkin berkawan dengan imam. Penipu tidak mungkin bersama dengan para solihin. Mereka berada dalam bekas masing-masing. Dan bekas itu pula berjauhan pula di antara mereka kerana busuknya kejahatan dari bekas yang kotor itu. 

Kemudian, dalam fb tersebut juga, dikatakan bermacam-macam hal dan perkara terhadap saya. Tetapi saya secara pribadinya tak membaca post tersebut. Saya tak tahu menahu langsung tentangnya sehinggalah isteri saya memberitahu saya sebentar tadi.

Saya cuba mencari post tersebut untuk membacanya. Untuk melihat sekuat mana cercaan & kejiannya terhadap saya. Tetapi post itu sudah dihapuskan (deleted). Saya hampa tetapi saya tidak marah. Saya hanya tersenyum sahaja melihat flip-flop bodoh seperti itu.

Isteri saya hairan melihat saya tersenyum. Tetapi dia tidak tahu kenapa saya tersenyum. Sebenarnya ada 3 sebab di sebalik senyuman saya . Mari kita ikuti satu persatu.

SEBAB PERTAMA.
Sebab apa yang berlaku kepada saya pernah berlaku kepada junjungan besar Nabi Muhamad SAW. So, dalam menghadapi situasi ini, saya menggunakan kaedah Nabi Muhamad SAW menguruskan orang-orang munafik di Kota Madinah.

Kaedah itu saya panggil “Diam tetapi berstrategik”. Baginda tidak membunuh mereka (orang-orang munafik) kerana bimbang orang-orang akan mengatakan “Muhamad itu telah membunuh sahabat-sahabatnya”.

Terdapat lebih kurang 300 orang munafik di Madinah. Kepalanya ialah Abdullah bin Ubay. Abdullah bin Ubay ini pula, kalau dilihat pada amal ibadatnya, ternyata mengalahkan kita. Dia selalu solat 5 waktu di belakang Nabi. Warak sungguh dia. Saya sendiri pun tak mampu seperti dia.

Tetapi perbezaanya ada. Abdullah bin  Ubay ini, walau solatnya sentiasa di belakang Nabi, tetapi dia sangat membenci Islam. Bahkan dia sangat mengharapkan kekuatan Islam yang dipimpin Nabi itu roboh dan musnah. Lebi dahsyat daripada itu, dia bercita-cita agar Nabi segera mati dalam peperangan dan dia dapat mengantikan baginda sebagai pemimpin di Madinah.

Saya sendiri pula sentiasa sibok. Kadang-kadang saya tak dapat hadir solat berjemaah di surau. Tetapi nawaitu saya sentiasa mengharapkan agar surau saya sentiasa penuh dan hidup. Untuk itu, saya melantik 4 orang pembantu imam yang dapat begilir-gilir menjadi imam untuk solat 5 waktu. Empat orang yang dilantik itu tidak termasuk dia.

Barangkali kerana tidak dilantik itulah, dia sangat marahkan saya. Pada peringkat awal kebenciannya, dia hanya membisik di sana-sini. Tiup sana, tiup sini, tetapi kurang menjadi. Kemudian dia mempertikaikan jawatankuasa yang saya lantik dengan menghantar jawatankuasa bayangannya ke pihak atasan. Tetapi pihak sana pun tak melayannya.

Yang terakhir, pada penghujung 2012 baru-baru ini, saya meletak jawatan saya atas sebab kesihatan. Dalam masa kekosongan itu (selama 2 minggu), dia cuba menaikkan tokoh pilihannya. Tetapi orang-orang kampong saya menolak tokoh tersebut dan menolak pula perletakan jawatan saya. Akhirnya, saya dipilih semula. Terkulat-kulatlah dia dengan kebodohannya.  

SEBAB KEDUA
Saya memilih jalan “keikhlasan” kepada Tuhan. Dan senjata saya yang paling ampuh ialah doa. Di  antara doa saya (dimelayukan) ialah, “Aku berlindung kepadaMu daripada bala yang tiba-tiba, pemandangan yang buruk, qadha (kesudahan) yang buruk dan ketawa para musuh. Ya Allah, ambillah pembalasan (bagi pihakku) ke atas mereka yang menzalimiku. Dan tolonglah aku ke atas orang-orang yang memusuhiku”

Saya cukup yakin bahawa Tuhan sentiasa mendengar permohonan saya & memakbulkan doa saya. Maka kerana itulah, pembela-pembela saya sentiasa ada di mana sahaja. Merekalah yang membentengi saya dan mencerca balik si malaun tadi. Saya tersenyum sahaja melihat buah kejahatannya menghempas kembali ke mukanya dan melantun semula ke hidungnya..

Pada waktu dia menulis perkara buruk tentang saya dalam fb, sebenarnya pada masa itu juga saya kuat berdoa (dengan lafaz doa di atas) kepada Tuhan. Apa yang dia tulis diketahui oleh masyarakat kampong. Berdentum mereka marah.  Akibatnya, kemarahan orang kampong terhadapnya semakin kuat. Kalau dahulu, ada juga dia turun ke surau sekali-sekala, sekarang ini dia langsung tak melintas (pergi). Barangkali dia takut menghadapi kebencian & sumpah seranah masyarakat terhadapnya.

Kadang-kadang kesian juga saya melihatnya. Seperti anjing kurap yang buruk telinga. Maka kerana itu, saya ingin berpesan. Jangan sesekali menzalimi manusia dan membuat fitnah terhadapnya. Bersihkanlah hati anda. Percayalah, shurga tidak membenarkan sesiapapun yang berhati kotor memasukinya.

SEBAB KETIGA
Orang yang takabur itu adalah musuh Allah. Barangsiapa mempunyai sifat takbur, walau sebesar biji sawi di dalam hatinya, tidak dapat masuk shurga. Bahkan sangat dilaknat oleh Allah.

Barangkali dia terlupa bahawa makhluk yang pertama takbur adalah Iblis laknatullah. Walau pun iblis itu asalnya baik dan suci serta banyak pula ilmu dan amalnya, tetapi ketakburannya mengheret dia kepada kemurkaan Allah.

Mahkluk Tuhan yang tidak menyukai saya ini sebenarnya menganggap dirinya lebih baik dan lebih pandai daripada saya. Dia menganggap dirinya lebih berhak menjadi imam, sekaligus sebagai pengerusi surau. Sejak tahun pertama saya menguasai petadbiran surau di tempat saya, dia mula menjaja cerita habis keliling kampong. Tetapi tuhan sentiasa memelihara & memuliakan martabat saya. Di mana pun saya berada, Tuhan tetap memberikan saya pemeliharaanNya & kemuliaanNya.  

Bukan saya nak menyombong diri. Ilmu agama dia hanya sebahagian kecil (only the small percent) daripada ilmu yang saya miliki. Walau apa pun yang dia cakap terhadap saya, saya cukup yakin ilmu dia tak mencapai separuh (50%) pun daripada kepunyaan saya. Bukan saya takbur. Saya bercakap begitu kerana saya kenal siapa diri saya dan kenal pula siapa diri dia.

Cuma saya tak suka mendabik dada. Saya ikut rasmi guru tarekat saya. Diam ubi diam berisi. Sebanyak mana pun ilmu, jangan menunjuk kepada manusia. Tetapi jangan pula tidak berilmu. Bersedialah dengan ilmu, terutama bila berada di rantau orang. Ada waktunya, manusia suka menguji. Ada pula waktunya, ilmu itu sangat diperlukan bila kita diperlukan.

Di tempat baru saya, saya selalu diserahi pelbagai tugas keagamaan. Sejak tahun pertama sampailah sekarang. Tuhan selalu mentakdirkan tugas itu kepada saya walau pun pelbagai kata buruk dilemparkan oleh malaun tadi terhadap saya. Tuhan sentiasa memelihara saya dan sentiasa memberi kemuliaan kepada saya. Di pendekkan cerita, saya tidak cacat apa-apa pun.    
   
Bahkan saya cukup yakin kepada hadis berikut. Bersabda Nabi SAW : “Barangsiapa mengangkat dirinya (takbur), maka Allah akan membenamkannya (menghinakan) ke dasar bumi. Barangsiapa yang tawaduk (merendahkan diri), maka Allah akan mengangkat dirinya”.

Dari hari ke hari, minggu ke minggu, bulan ke bulan dan tahun ke tahun, saya merasa Tuhan memberikan keluasan segala aspek kepada saya. Dan saya pun selalu memperingatkan diri saya supaya jangan takbur & sombong. Jangan juga suka menghina orang lain. Bersihkanlah hati dan jadilah manusia yang suci. Hidup mulia adalah hidup berhati bersih.     

Dia pula sebaliknya. Saya pun kasihan kepadanya. Tetapi semuanya salah dia. Dia yang gagal menjadikan dirinya manusia baik yang selalu bertaubat kepada Tuhan. Pesan saya kepada diri saya, diri dia dan sesiapa sahaja. Bersihkanlah hati dengan zikir. Sebelum berzikir, niatlah di dalam hati semoga hati menjadi bersih berkat zikir diucapkan ini.


DI RUMAH. 30-1-2013. 6.29 PM.   

1 comment:

  1. Apa guna bercerita keburukan org lain disini? Jgn beri alasan utk memberi pengajaran. Apa yang saya nampak anda lebih banyak meninggikan diri sendiri disamping memburuk2kan org tersebut. Lagi satu, apa tujuan meletakkan salasilah sehingga nabi muhammad? Bukankah itu untuk menunjuk-nunjuk? Wallahualam..

    ReplyDelete