GUGUR INDAH


Get Flower Effect

Thursday 13 September 2012

MATI, KUBURAN & ALAM BARZAH




 

 
Pagi ini saya bangun seawal 5.30 pagi. Tetapi perut saya sebu, yang menyebabkan saya tak selesa.

Saya rasa “tak selesa” itu sejak petang semalam. Semenjak balik dari Tanah Merah, di tempat kenduri Najib, anak Poksu Kob Sub Depo Machang. Semasa memandu pulang, saya rasa macam tak boleh bernyawa. Rasa “sekak” dalam dada.




Semalam saya dah sapukan minyak panas. Akibatnya, saya terkentut sepanjang masa. Tetapi bangun pagi ini, ia masih debu. So, saya sapukan ubat kali kedua.

Akibatnya, saya terkentut lagi. Saya tak pergi ke surau pagi ini. Saya  hanya bersolat subuh di rumah sahaja.

Baru-baru ini, ayah ada ceritakan tentang kematian Penghulu Shaari (berasal dari Labok) di Terengganu. Saya kenal sangat beliau. Berbadan besar, peramah & seorang penyembelih lembu yang handal. Setiap kali Hari Raya Korban, beliaulah yang diamanahkan menyembelih lembu sekitar Labok.  

Punca kematiannya tak diketahui. Tetapi dia mati di hospital Terengganu.

Adakah ini bekas imam yang dimaksudkan?
Sebelum itu, Tuan Hassan ada juga menceritakan tentang kematian bapa saudaranya, bekas Imam Batu 30, Machang. Saya kenal juga beliau. Kami selalu berjumpa di rumah keluarga Tuan Hassan setiap kali ada majlis tahnik, tahlil & lain-lain upacara agama.

Kata Tuan Hassan, beliau mati akibat sejenis penyakit dalam perut. Dan dia mati di Terengganu juga.

Sakit jantung. Tolong makan cuka khurma (khal).
Seminggu sebelum itu, ayah ada ceritakan tentang kematian Pak Seman, bapa mertua Abang Noor yang tinggal di KL. Pak Seman itu tinggal di Kg Joh.  Kata ayah, dia mati semasa memandu kereta. Tiba-tiba sahaja keretanya merempuh pokok rambutan semasa balik dari ladang tebunya.

Kata ayah, dia mungkin terkena sakit jantung masa itu. Ya Allah Ya Rabbi, Engkaulah Tuhan kami. Engkau Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang. Ampunilah segala dosanya.

Sekadar gambar hiasan. Salah satu sympton kencing manis
Dua minggu sebelum itu, Tok Imam Sullaima yang tinggal di Kg Tok Bok juga mati. Dia juga pengidap kencing manis seperti saya. Khabarnya, dia “hypo” (tak sedar diri) hari itu. Ya Allah Ya Rabbi, kasihanilah dia. Ampunkanlah dia.

Kemalangan maut. Tolong baca ayatul kursi
 Lebih kurang 3 minggu sebelum itu, saya terima satu berita yang sangat menyayat hati. Imam Mat, Masjid Kg Sokor (masjid mukim bagi kampung saya) juga disahkan meninggal dunia akibat kemalangan jalanraya.

Khabarnya, kereta kancil yang dipandu anak saudaranya telah berlanggar dengan sebuah lori di depan Maahad Tahfiz Al-Quran di Pulai Chondong.

Saya kehilangan seorang rakan & teman yang baik. Dia manusia yang cukup baik, sangat lemah lembut & halus budi pekertinya. Ya Allah Ya Tuhanku, berkatilah dia, sayangilah dia. Ampunkanlah dosa-dosanya.

Beberapa bulan sebelum itu, saya menerima berita kematian Salleh, jiran kami di Kg Joh. Salleh itu sebaya saya. Semasa muda, beliau bekerja sebagai buruh di Singapura. Bila dah berumur, beliau hanya bekerja di kampong sahaja.

Jangan suka minum air bikarbonat. Sikit2 jew la

Saat kami berjumpa, dia selalu mengadu pasal kencing manisnya. Saya selalu menasihatinya & menyabarkannya. Salleh itu sangat kelakar dan humour, meski pun anak-anaknya sangat ramai. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.

Ya Allah Ya Tuhanku, ampunilah segala dosanya. Kasihanilah dia. Bantulah anak-anaknya. Berilah kehidupan yang baik kepada mereka.

Pada masa yang hampir sama, terdapat lebih kurang 4 kematian di Kok Lanas. Menurut maklumat yang diberitahu oleh Cikgu Alias kepadaku, mereka ialah Pak Yunus (kami panggil Pak Nus sahaja), Dollah HRPZII, Dollah anak Haji Mail & Pakda Lah.

Yang paling mengesankan saya ialah kematian Pakda Lah. Beliau ialah ayah kepada Mastura, isteri Zuhdi yang pernah menjadi rakan sejawatku di SMK Paloh (2004-2009). Sekarang Zuhdi naik pangkat sebagai Penolong PPD (Akedemik), PPD Gua Musang.

Wajah Pakda Lah lebih kurang macam ni. Ini wajah TG Haji Shafie, Kg Losong, Terengganu.

Pakda Lah itu sangat baik orangnya. Saya anggap dia macam ayah saya sendiri. Sangat lembut tutur katanya. Baik budi pekertinya. Warak orangnya. Setiap kali ada solat hajat, Imam Mat selalu menyuruhnya menjadi imam.

Demikianlah besar martabat diri dan taqqarubnya kepada Tuhan. Dia selalu disuruh berdoa untuk kebajikan dan kepentingan manusia di sekelilingnya. Wahai tuhan, berkatilah kehidupannya di alam barzah. Ampunilah segala dosanya.   

Dan paling mengharukan, saya kehilangan seorang rakan guru & sahabat yang cukup aku sayangi di SMK Hamzah 2. Beliau yang dimaksudkan ialah Cikgu Che Mustaffa bin Yaakob.

Untuk cerita yang lebih lengkap, sila ke WEBLOG CIKGU ZAIN yang boleh anda capai melalui MY BLOG LIST di bawah. Sila baca entri pada post popular kami : CIKGU  CHE MUSTAFFA BIN YAAKOB [DALAM KENANGAN]

Untuk lebih mendekatkan anda kepada alam barzah, silakan baca GAMBARAN ALAM BARZAH pada blog yang sama. Semakin anda membaca, tentu semakin baik focus anda kepada kematian.  

Sekian untuk kali ini. Ingatlah, tiada ada seorang pun yang selamat daripada mati. Sampai masanya, setiap orang pasti akan mati.

Untuk lebih mengesankan anda tentang kematian dan kehadiran malaikat maut, elok anda baca entri ini pada blog ini. KALAU ANDA TAKUT, JANGAN BACA ARTIKEL INI. Tentu anda terjumpa kenyataan ini. MALAIKAT MAUT SENTIASA MENGINTAI ANDA SETIAP 21 MINIT.


Sekian. Terima kasih. 26.8.2012.    8.00 am
Diterbitkan semula pada 13.9.2012   5.25 pm
Kalau anda ingin memberi respons kepada mana-mana artikel kami, sila pilih anonymous atau name/url. Taip nama anda & abaikan url.
     

1 comment: