GUGUR INDAH


Get Flower Effect

Saturday 13 October 2012

SEBUAH LORI DARI GUA MUSANG



Saat saya turun dari rumah sekitar jam 11.45 pagi tadi, saya membaca Ayatul Kursy seperti kelaziman saya. Tetapi saat saya mendekati Bandar Machang, hati saya berdebar-debar kencang. Kenapa ni?

Saya menurunkan isteri saya di Pasar Besar Machang untuk dia membeli beberapa keperluan dapur. Saya pula ke Kedai Lah Radio untuk membeli corong pembesar suara untuk kegunaan surau saya. Dah lama saya tertangguh-tangguh, rasanya hari ini sangat sesuai saya membelinya.



Selesai urusan membeli peralatan tersebut, saya segera mengundurkan kereta saya dari parking. Di sebelah saya ialah sebuah lori besar yang dinaiki sepasang suami isteri.

Saya cuba bergerak ke hadapan, tetapi di hadapan saya ialah seorang anggota pasukan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM). Kedudukannya menghalang pergerakan saya. Maka saya terpaksa berhenti sekejap menunggu dia berundur ke tepi.

Hormat menghormati & kasih mengasihani di jalan raya adalah suatu sifat yang terpuji. Bila dia menyedari bahawa dia menghalang pergerakan kereta saya, maka dia pun segera bergerak ke tepi jalan. Terima kasih.

Saya kemudian ingin bergerak ke depan. Dan pada saat itulah, lori di sebelah saya tadi mengundur (gostan) ke belakang secara tiba-tiba. Dumm. Kemek pintu kereta saya dibuatnya.

“Ya Allah”, saya berseru dalam hati. Sepasang suami isteri tadi segera keluar daripada lorinya. Anggota pasukan JPAM itu juga mendekati kereta saya. Saya terdiam agak lama di dalam kereta. Sedih ada, marah pun ada. Tetapi saya menekan kedua-duanya dengan sifat sabar saya.

“Ya Allah, ini semua ketentuanMu, takdirMu, kehendakMu”, demikian saya memberitahu hati saya. Segera saya teringat kepada kuliah “Tafsir Sufi” yang saya sampaikan di surau semalam.

Sebahgian tanda orang yang arif (mengenal Allah) itu ialah dia memandang semua perkara yang berlaku padanya ialah takdirNya. Maksudnya, segala apa yang menimpa kepadanya adalah kerana ketentuan & kehendak Allah semata-mata.

Saya terima takdir Allah ini dengan penuh redha. Saya tak marah padanya. Bukan salah dia. Bukan juga salah saya. Dan bukan juga salah anggota pasukan JPAM itu. Semuanya kehendak Allah. Semuanya ketentuan daripadaNya.

Rundingan kami berjalan lancar. Pada mulanya, saya suruh dia langsaikan sahaja kos ketuk body & cat kereta saya di kedai Welding Mat Daud, sahabat saya di Kg Membunga.  Tetapi katanya, dia tinggal di Gua Musang & sekarang dalam perjalanan hendak balik ke Gua Musang.



Dia memberi sedikit duit kerana kesilapannya melanggar saya. Saya terima seadanya. Di Kedai Welding Mat Daud, kos keseluruhannya RM250.00 kerana melibatkan 2 pintu. Saya akur dengan jumlah yang terpaksa saya bayar.

Kesan pelanggaran itu melibatkan kemek pada pintu hadapan & belakang sebelah kiri. Kalau satu pintu yang kena, mungkin kosnya sekitar RM150.00. Tetapi ia melibatkan 2 pintu. Sudah ketentuan dan kehendakNya. Saya redha menerimanya.

Sesungguhnya ilmu Tuhan itu sangat luas. Sudah pasti segala apa yang berlaku itu diliputi oleh keluasan IlmuNya. Dan sesungguhnya Tuhan juga Maha Bijaksana. Sudah pasti segala apa yang berlaku itu mengandungi hikmah-hikmah yang berguna kepada saya.

Di antara kata-kata saya yang selalu saya sebutkan kepada jemaah:

[1] Bila kita ditimpa musibah, hendaklah kita bersabar. Kerana boleh jadi musibah yang kecil itu mengelak kita daripada terkena musibah yang lebih besar. Kesabaran itu adalah buah dari hati yang redha & akal yang sihat.   

[2] Musibah yang tuhan berikan itu adalah rahsia ketuhanan. Bersangka baiklah kepada Tuhan kerana semua yang berlaku itu adalah dengan keluasan IlmuNya & kebijaksanaanNya. Tuhan itu bersifat Al-Alim (Maha Memgetahui) & Al-Hakim (Maha Bijaksana). Sedarilah.   

[3] Berterima kasihlah kepada Tuhan kerana mengatur seluruh pergerakan hidup kita dengan cantik, indah & kemas. Tuhan tidak berlepas tangan sedikit pun dari kita. Segala yang berlaku itu adalah ketentuan & kehendakNya untuk menjamin  keselamatan, keselesaan & kelansungan hidup kita. Masyaallah.     

Rahsia ketuhanan itu adalah sesuatu yang rahsia. Al-Quran membentangkan kisah Nabi Musa dan Nabi Khidir untuk menunjukkan betapa rahsianya rahsia ketuhanan itu. Ia sangat sulit untuk  dimengerti & difahami.

Untuk kita sebagai orang awam ini, langkah menghadapi rahsia ketuhanan itu adalah dengan bersangka baik kepada Tuhan. Dan itulah yang saya lakukan.

Dari saat saya mulai meletak kereta saya di Kedai Welding Mat Daud pada pukul 12.00 pm sehinggalah kepada jam 7.00 pm nanti, macam-macam perkara boleh berlaku kepada saya sekiranya saya masih berada di atas jalan raya dalam tempoh 7 jam tersebut..

Atau dalam bahasa yang mudah difahami, mungkin kalau saya tak terlibat dengan kemalangan pagi tadi dan tidak menghantar kereta saya ke Kedai Welding Mat Daud, saya akan terlibat dengan kemalangan lain, yang lebih besar, lebih teruk, lebih ngeri, bahkan mungkin mengakibatkan kematian.

Selepas subuh tadi, saya dah bacakan Ayat Lima sebagai penolak bala, kemudian doa pengusir bala. Kemudian sebelum memandu, saya pun dah baca Ayatul Kursy seperti kelaziman saya. Tetapi kemalangan itu berlaku juga.

Kemalangan itu berlaku menurut ketentuanNya. Dan semua yang berlaku itu adalah kehendakNya. Saya redha & pasrah.

Dari Allah kami datang, dan kepadaNyalah kami akan dikembalikan.


      

1 comment:

  1. Untuk makluman tuan, saya pernah mengambil baiah dengan Tuan Guru Haji Basir bin Khatib ini sekitar tahun 1986, di Kg. Lubuk Buntak, Ketereh, Kelantan. Ketika itu usia saya 20 tahun. Maklumlah sedang remaja dan menuntut di pengajian tinggi, maka begitu sukar untuk berhubung dengan tuan guru. Tetapi kerinduan tetap ada. Hingga kini. Baru-baru ini pernah ke Paya Jaras tempat tinggal tuan guru. Alangkah.

    ReplyDelete