GUGUR INDAH


Get Flower Effect

Monday 12 November 2012

IMAM MAHDI AL-MUNTAZAR (9) Sabar Sepanjang Jalan



Kalau anda mendengar berita TV3 beberapa hari yang lepas, terdapat laporan saintis yang mengatakan bahawa “Matahari, Marikh, Utarid akan berada selari dalam Buruj Aquarius (Sun, Mars and Mercury near Aquarius) pada 23 Disember 2012. Mereka akan berkeadaan begitu sehingga 24 Februari 2013. Tempohnya ialah selama 2 bulan.

Kenapa saintis memberi amaran demikian? Apakah rasional amaran demikian? Anda jangan tertipu dengan propaganda Yahudi bahawa bumi akan ditimpa malapetaka pada 21.12.2012. Dunia tidak akan kimat sebelum berlaku 10 perkara tanda akhir kiamat.

Amaran saintis ini pun kita mesti awasi dengan asas agama. Sebab kebanyakan saintis ini pun Yahudi. Kita jangan percaya 100%. Lagi pun yang mengeluarkan ramalan “Sun, Mars and Mercury near Aquarius” sebagai tanda kemunculan Imam Mahdi adalah Nostradamus. Dia pun Yahudi juga. Lagi pun, banyak ramalannya tak tepat. Meleset. Sipi. Tak boleh dijadikan sandaran & pegangan.

Saya telah menulis panjng lebar tentang Imam Mahdi. Sekarang dah masuk episode yang kesembilan tentang cerita IMAM MAHDI AL-MUNTAZAR.  Kalau ditambah siri-siri lain berkaitan Imam Mahdi, semuanya dah berjumlah hampir 18 tajuk. Sesungguhnya, cerita tentang Imam Mahdi ini takkan habis.

Salah satu sifat mulia tentang Imam Mahdi ialah kesabaran. Beliau mempunyai kesabaran sepanjang jalan. Anda tahu maksudnya apa?

Anda jangan fikir bahawa Imam Mahdi sebelum pengislahannya dalam satu malam hanya merupakan seorang pemuda biasa. Tidak begitu keadaannya. Dia seorang pemuda soleh yang terlihat sunnah nabi padanya.

BEBERAPA AMALANNYA
Imam Mahdi rajin mengerjakan solat sunat sebelum kemunculannya. Bahkan dikatakan beliau mengerjakan banyak rakaat solat sunat sehari semalam. Ada masanya beliau banyak mengerjakan amalan itu di masjid, tetapi lebih kerapnya ialah di rumah. Dia menjadikan rumahnya sebagai tempat beramal ibadat.

Kemudian dia juga banyak berpuasa sunat. Berpuasa sunat itu merupakan amalan Rasulullah S.A.W, sebagaimana juga solat sunat yang saya sebutkan di atas. Jangan anda terkejut dengan kuatnya dia beramal. Beramal itu sifat mulia dan akan membawanya pula kepada kemuliaan.

Imam Mahdi juga seorang yang kuat berselawat. Tidak menghairankan bagi saya, kerana setiap penganut tarikat sangat menjaga selawatnya. Kalau anda ingin tahu bentok selawatnya, layari website tarikat Tijaniah. Kalau anda rajin ke kedai buku, beli buku 99 jenis selawat. Anda boleh melihat sighat selawat Tarikat Tijaniah di sana. Barangkali itulah amalan selawatnya, dibaca 12X setiap selepas solat. Pada waktu-waktunya yang lain, mungkin lebih kencang.

Berserban merupakan pakaiannya yang sangat payah kelihatan sekarang ini. Memang payah untuk kita melihat adanya orang yang berserban. Dalam 100 orang yang ke masjid untuk solat Jumaat, saya dapati hanya seorang yang berserban. So, nisbahnya hanya 0.01. Nisbah yang sangat kecil. Itu pun serban putih, bukan serban biru. Imam Mahdi dikatakan berserban biru pada saat kemunculannya. Di manakah budaya orang-orang berserban biru itu?

Beliau juga merayakan Hari Khamis sebagai hari istimewa. Maksudnya beliau menggunakan hari itu dan malamnya untuk melakukan ibadat yang bersungguh-sungguh kepada Tuhan. Membaca Al-Quran, berzikir, berselawat & sebagainya. Saat orang lain tidur, beliau bangun bermunajat kepada Tuhan dengan esak tangis & rindu membara kepada Tuhan.  

Sesungguhnya Al-Mahdi adalah model islamik bentok baru disajikan untuk manusia  setelah luput selama bertahun-tahun, berkurun & berabad lamanya tanpa pengisian.

“Dia tidak menipu dan tertipu”, satu bahasa yang sama dengan kata-kata Syaidina Umar Ibnu Khatab yang berbunyi,”Aku bukan penipu & bukan pula penipu menipu aku”. Ungkapan  “Dia tidak menipu dan tertipu” itu telah dijumpai di sebuah perpustakaan di Syria, iaitu perpustakaan Al-Jami’ Al-Umawi di Damaskus, Syria dengan nombor 69. Turath Basyar Al-Harith.

Bagaimanakah anda dapat memahami maksudnya? Dia tidak menipu sesiapa dengan penampilannya, akhlaknya, kesabarannya, amalannya, kebijaksanaannya, kata-katanya dan sebagainya. Penampilannya menyenangkan, akhlaknya terpuji, kesabarannya terbukti, amalannya banyak, kebijaksanaannya hebat dan kata-katanya pula benar. Dia tak betah berdusta atau berbohong kepada sesiapa.

Dia mempunyai kesabaran yang sangat luar biasa. Dan boleh jadi kesabarannya itu meliputi perjuangan yang panjang, lambatnya hasil yang diperoleh, kejayaan yang tertunda, kesulitan dalam bergaul dengan pelbagai lapisan manusia dengan perbezaan perasaan dan kecenderungan mereka dan sebagainya.

Tetapi semuanya itu tidak membuatnya menjadi malas, bersikap leka, putus-asa, mengundurkan diri, atau berhenti di tengah jalan. Sebab dia berbuat bukan sekadar untuk sebuah kejayaan atau pun kemenangan, tetapi yang paling pokok, tujuannya adalah untuk mencapai keredhaan Allah dan menuruti perintahNya.

KISAH NABI NUH A.S
Untuk memahami sedikit makna kesabaran sepanjang jalan, elok kita telusuri kisah Nabi Nuh ‘alaihissalam, pemuka para anbia’. Baginda hidup di tengah kaumnya selama 950 tahun. Beliau berdakwah dan bertabligh, namun hanya sedikit sekali yang mahu beriman kepada beliau. Padahal pelbagai cara dakwah sudah ditempuh, waktu dan bentuk dakwahnya juga pelbagai cara, sebagaimana yang difirmankan oleh Allah melalui perkataan beliau:

“Wahai Rabb-ku, sesungguhnya aku telah menyeru kaumku malam dan siang, maka seruanku itu hanyalah menambah mereka lari (dari kebenaran). Dan sesungguhnya setiap kali aku menyeru mereka (kepada iman) agar Engkau mengampuni mereka, mereka memasukkan anak jari mereka ke dalam telinganya dan menutupkan bajunya (ke mukanya) dan mereka tetap (mengingkari) dan terlalu menyombongkan diri.”  (Nuh: 5-7)

Sekali pun harus menghabiskan masa selama 950 tahun, beliau tetap menyeru kaumnya dan akhirnya ada 40 orang yang berhimpun bersama beliau. Sedangkan kaumnya yang lain berpaling dari beliau, sekali pun beliau sangat berharap mereka mahu beriman.

Al-Quran telah mengisahkan kepada kita individu-individu Mu’min di dalam Surah Al-Buruj. Mereka rela mengorbankan nyawa fi sabilillah dan mereka tidak mengatakan, “Apakah kematian ini dapat memberi apa-apa manfaat terhadap dakwah kita?”

Mereka tidak berkata seperti itu, kerana mereka mempunyai keteguhan hati dan pengorbanan. Kejayaan dakwah ada di tangan Allah. Siapa yang tahu kalau pun darah mereka itu merupakan santapan lazat bagi pohon iman generasi berikutnya?

Mari kita ulangi balik perbahasan tentang laporan saintis yang berkaitan  dengan “Sun, Mars and Mercury near Aquarius.”. Ia dijangka berlaku pada 23.12.2012 hingga 24.2.2012.  Jika anda dapat menggunakan perisian astronomi seperti Lodestar dan Starry Night, cuba setkan tarikh ini: 24 Februari 2013, hari Ahad bersamaan dengan 14 Rabiul Akhir 1434. Benar, pada hari inilah Matahari, Marikh dan Utarid (Mercury) benar-benar tepat berkulminasi di Buruj Aquarius.

3 SEBAB SAYA MENOLAKNYA
Saya tak berani mengatakan bahawa Al-Mahdi akan keluar dalam tempoh berkenaan. Ada 3 sebab besar. [1] Kenyataan saintis itu selari dengan ramalan Nostradamus, sedangan Nostadamus itu Yahudi & Yahudi tidak boleh dipercayai. [2] Kalau pun ramalannya benar, maka itu kebetulan sahaja. Lalu apakah cara ramalan itu terbina?  Bolehkah kita percayai? [3] Nostradamus itu hanya peramal & tidak semua ramalannya sebelum ini tepat 100%. Saintis di atas cuma memperbesarkan satu isu tertentu, maka motifnya apa? Perlu apakah seluruh warga dunia tahu tentangnya?  

Walau bagaimana pun, elok juga kita melihat kata-kata Nostradamus bahawa dalam tempoh 17 tahun semenjak 1995 iaitu pada tahun 2012 akan berlaku satu arus atau angin perubahan di Rom. Benar atau tidak, tidaklah dapat dipastikan.  Jika benar, anggap sahaja kata-kata Nostradamus itu sebagai fakta sokongan

Untuk memahami sedikit kisahnya, mari kita ikuti hadis di bawah.

Sabda Nabi SAW lagi: “Jika kamu semua telah menakluk Rom, masukilah ke gereja sebelah timur melalui pintu sebelah timur, lalu ikatkan tujuh bendera dan bunuhlah yang ke-8 sebab di bawahnya terdapat tongkat Musa, Injil dan perhiasan Baitul Muqaddis.”

Tidak susah difahami kenapa hati Nabi Isa terbuang ke Kota Byzantium (“banished to Byzantium”), rupa-rupanya ada pusaka umat Islam yang tertinggal di situ. Maksud gereja sebelah timur ialah St. Peter’s Basilica di Medan St. Peter yang memang benar-benar berada di bahagian sebelah timur jika anda melihat peta kedudukan Vatican City.

Gereja ini memang mempunyai banyak pintu di bahagian hadapan dan tepinya. Sesetengah dari kita,  ada yang biasa mendengar cerita seorang paderi di gereja St. Peter yang memeluk agama Islam setelah dia turun ke sebuah kolam yang terdapat di bawah tanah di gereja itu kerana di situlah terletaknya kitab Injil Nabi Isa yang asal.

Pun tidak susah untuk kita fahami kenapa hati Nabi Isa terbuang ke Kota Byzantium (“banished to Byzantium”)? Baginda ingin membersihkan kepercayaan salah bahawa dia anak tuhan. Pembetulan akidah akan dimulakan dari sana sebelum merebak ke seluruh dunia

Al-Mahdi akan keluar. Tujuh tahun selepas kemunculannya, baru Dajjal keluar. Pada saat yang hampir sama, baru Nabi Isa a.s turun ke bumi untuk membetulkan segala kecelaruan akidah terhadapnya. Saya tidak pasti apakah Imam Mahdi menyerang Kota Byzantium terlebih dahulu atau beliau akan menunggu Nabi Isa a.s  terlebih dahulu.

Melihat kepada kandungan hadis di atas, serangan itu bermaksud dilakukan bersama. Jika ini benar, maka tempoh perubahan selama 17 tahun (bermula 1995 – 2012, menurut Nostradamus) di Vatican City lebih bersifat mikro. Sebenarnya kalau dunia Kristian ingin berubah kepada kebenaran, penemuan Injil Baranabas Asli di Turki baru-baru ini sudah cukup sebagai bukti kerasulan Nabi Muhamad S.A.W.

Dalam Injil Barnaba yang dimaksudkan, Nabi Isa A.S dilaporkan berkata, akan datang seorang penyelamat yang bernama Ahmad (Muhamad). Ayatnya jelas & tidak berbelit. Kenapa begitu sukar menerima perubahan?   

Ingin diingatkan juga bahawa ‘Kaum Yahudi (maksudnya bangsa Israel) ’ sekarang bukanlah suku yang sama-sama menyeberangi Laut Merah bersama-sama Nabi Musa ribuan tahun dahulu tetapi adalah suku ke-13 yang berasal dari suku Khazar yang terkenal dengan Barbaric di bahagian utara Kaukasia. Jadi, jika ‘bangsa Israel’ ini mengaku mereka keturunan Yahudi zaman Nabi Musa A.S, ternyata itu satu pembohongan besar.

Imam Mahdi Al-Muntazar Akhir Zaman akan muncul pada waktu yang sangat dekat. Beliau menuntut ketaatan & pengorbanan semua umat Islam untuk membantunya. Perjuangan bersamanya adalah perjuangan mulia membangunkan Daulah Islamiyah.

Sesungguhnya di akhirat, Allah tidak akan bertanya kepada manusia, “Mengapa engkau tidak memperoleh kemenangan?” Tetapi Dia akan bertanya, “Mengapa engkau tidak berusaha?”

Kalau pun kita mati awal sebelum waktunya, Allah tidak akan bertanya, “Mengapa engkau tidak berjaya?” Tetapi Dia bertanya, “Mengapa engkau tidak melakukannya?”

Sekian untuk coretan kali ini. Kami akan berhenti sebentar. Ada waktunya, kami akan menyambung lagi kisah mengenai IMAM MAHDI AL-MUNTAZAR (10). Pastikan anda melayari sampai habis, sehingga kepada penghujungnya siri (13).

Buat sementara waktu, kami akan menulis cerita-cerita misteri dalam Islam. SELAMAT MEMBACA.

Disediakan pada  12.11.2012   5.42 pm

No comments:

Post a Comment