GUGUR INDAH


Get Flower Effect

Tuesday 6 November 2012

MAT YO, KENAPA ENGKAU DIAM?



MAT YO, KENAPA ENGKAU DIAM?

Saya ada sebuah cerita tentang Mat Yo. Konon-kononnya, Mat Yo dan dua orang rakannya, Jeri & Syafiq menaiki sebuah kereta  menuju ke Perak melalui Lebuh Raya Timur Barat pada suatu malam yang hening. Waktu pada masa itu sekitar jam 10.00 pm.

Mereka sebenarnya nak balik ke Perak setelah bercuti selama beberapa hari sempena hari raya korban baru-baru ini. Jeri yang memandu. Syafiq pula menjadi co-pilot di sebelahnya. Mat Yo pulak duduk keseorangan di belakang kereta.

Barangkali Mat Yo sangat letih. Dia tentu ingin berehat & tidur. Maklum sahaja dia orang tersohor. Semua orang kenal Mat Yo. Kalau ada sesiapa tak kenal Mat Yo, mungkin dia bukan rakyat Kelantan atau seseorang yang tak ambil berat pasal sukan tanahair. Rakyat Kelantan mesti kenal Mat Yo. Peminat sukan juga mesti kenal Mat Yo.

 

Saya suka kepada corak permainan Mat Yo. Dia cergas, ligat & tangkas. Sebelum ini, dalam perlawanan akhir antara Kelantan (TRW) dan ATM, saya dah menconggak peluang TRW menang hanya berada pada paras 50-50. Kalau nasib baik, insyaallah menang. Kalau sebaliknya, apalah daya kita.

Meskipun Ghadar & Indera tak ada, tetapi Mat Yo & Mat Trojan menunjukkan kemampuan yang sangat luar biasa. Di antara keduanya, Mat Yo terbukti lebih mampan & perkasa. Dia Berjaya membolos 2 gol ke pintu lawan.

Hebat Mat Yo. Pada saya, dia memang hebat. Dia ada skill (kemahiran). Cara dia membawa  bola, melambung bola & mengelecek bola, sangat hebat & mengkagumkan. Tubuhnya lembut macam spring. Dia memang layak menjadi pemain terbaik Piala Malaysia 2012.

Saya ini bukan kaki sukan, bukan juga peminat bola sepak. Tetapi mencintai watan (tanahair) itu juga termasuk perkara iman. Kelantan itu negeri saya. TRW itu pasukan negeri saya. Kalau saya & rakyat Kelantan tak menyokongnya, siapalah yang akan menyokongnya?

Cuma saya rasa sukan itu memerlukan pembaharuan Islamik. Adalah lebih baik pemain memakai seluar pendek di bawah paras lutut. Kemudian cuba elakkan permainan sebelum Isyak. Pastikan semua pemain bersolat Maghrib & Isyak dahulu. Kemudian pihak stadium sediakan surau berpagar.

Maksudnya, penonton boleh keluar dari stadium untuk bersolat dalam surau yang lebih besar & selesa tetapi masih dalam pagaran stadium. Maksudnya, selepas itu dia boleh masuk balik ke dalam stadium tanpa membeli tiket baru.

Islam tidak mengharamkan sukan, kerana sukan juga dapat membawa umat Islam kepada kesihatan. Rasulullah S.A.W mengalakkan umat Islam mengajar anak-anak mereka berenang & memanah. Biar tubuh mereka sihat. Kerana akal yang sihat itu berpunca dari badan yang sihat.

“JERI, BERHENTI SEKEJAP, AKU NAK KENCING”, demikian jerit Syafiq di sebelahnya. Berdentum bunyi pintu yang dihempap Syafiq yang tergesa-gesa. Begitu juga pintu sebelah kiri di tempat duduk belakang. Mat Yo pun nak kencing juga.

Selepas 5 minit, Syafiq masuk semula ke kereta. Kemudian terdengar pula pintu belakang ditutup. Mat Yo dan Syafiq keluar serentak & masuk hampir serentak. Pemain bola yang cergas macam Mat Yo mestilah tangkas bergerak. Cepat keluar, cepat pulak masuk ke dalam kereta.

Jeri segera menderum kereta Wira yang dipandunya. Mula-mula 50 km/j, kemudian meningkat kepada 60 km/j, 70 km/j, 80 km/j, 90 km/j, 100 km/j dan seterusnya meningkat kepada 130 km/j. Dia melihat Syafiq lentok di sebelahnya. Tetapi dia melihat Mat Yo semacam tegak sahaja di tempat duduk belakangnya.

“Minta mancis”, demikian Mat Yo  meminta mancis daripada Jeri yang memandu kereta.        

Jeri menghulur kepadanya. Tetapi keadaan selepas itu senyap sahaja. Mat Yo, kenapa engkau ini diam sahaja? Demikian jerit hati Jeri di malam yang gelap itu.

Setelah setengah jam memandu, sampailah kereta mereka ke pinggir Bandar Grik. Jeri perlahan-lahan memberhentikan keretanya di hadapan sebuah kedai makan. Dia segera membangunkan Syafiq & Mat Yo. Syafiq bangun sambil mengenyeh matanya. Mat Yo pula senyap membisu.

Jeri menoleh ke belakang. Dia tak Nampak kelibat Mat Yo. Dia mencuit Syafiq. Syafik juga mendapati Mat Yo tak ada.

MANA MAT YO INI? KE MANA DIA PERGI?   

Jeri menceritakan semua pristiwa yang berlaku sebentar tadi. Dia kata Mat Yo memang ada. Mat Yo juga meminta mancis daripadanya. Kenapa pula dia sekarang tak ada?. Mat Yo, ke mana engkau ni?.

Kedua-dua Jeri & Syafiq tergaman sebentar. Mat Yo yang berada dalam kereta sebentar tadi pastilah bukan Mat Yo, rakan mereka. There must be something wrong.

Jeri & Syafiq segera memandu kereta ke tempat di mana Syafiq & Mat Yo turun kencing sebentar tadi. Saat mereka sampai, terlihat Mat Yo sedang berjalan kaki. Segera mereka mengambil Mat Yo dengan cepat.

Di dalam kereta, terbongkarlah rahsia bahawa bila Mat Yo sudah siap qadial hajat & hendak menuju ke kereta, tiba-tiba sahaja Jeri menderum pergi. Kemudian Mat Yo cuba menahan beberapa buah kereta yang lalu lalang, tidak ada satu pun mahu berhenti. Maka terpaksalah dia berjalan meski pun dia ketakutan.

SAYA MEMINTA MAAF
Saya meminta maaf kerana membuat induksi menggunakan nama Mat Yo.  Tetapi penumpang kereta Wira itu pun dipanggil Mat Yo juga oleh rakan-rakan sekampung. Saya tidak mengubah sedikit pun.

Cerita di atas adalah cerita benar 100%. Kak Mah yang menyampaikannya kepada isteri saya. Jeri itu anak kepada Kak Mah. Syafiq itu pula anak saudaranya. Maka Jeri & Syafiq itu sepupu. Mat Yo itu pula rakan mereka yang tinggal di Kg Dewan, Labok.

Mereka bertiga nak balik Ke Perak semasa Hari Raya Korban baru-baru ini. Buat pengetahuan pembaca, kawasan Lebuh Raya Timur Barat itu memang keras. Bukan kerana jalannya keras kerana berturap atau penuh batu-batan, tetapi kerana persekitarannya yang kosong dari manusia & pembangunan.

NASIHAT SAYA
Sebelum memandu, pastikan anda membaca Ayatul Kursi. Kemudian sepanjang pemanduan anda itu, banyakkan membacanya dengan niat memohon keselamatan & pertolongan Tuhan. Lebih elok kalau anda dapat menambahinya dengan Ayat 33.

Kalau anda tak lancar membaca Ayatul Kursy atau Ayat 33, baca sahaja 3 Qul (Al-Ikhlas, Al-Falaq & An-Naas). Ulang 3X setiap satu. Jangan sesekali memasang keset lagu, terutama pada waktu Maghrib atau selepasnya. Lagu atau hiburan akan menarik syaitan & jin kepada anda.

Untuk mendapat berkat, elok anda beli keset atau VCD Al-Quran. Yang eloknya, anda beli Surah Al-Baqarah, sebab syaitan & jin sangat takut kepadanya.

Cerita di atas adalah tentang gangguan jin bukit kepada manusia. Berhati-hatilah semasa memandu. Jangan lalai, cuai & alpa. Sentiasalah bergantung harap kepada Tuhan.  Saya minta maaf kepada Mat Yo TRW kerana cerita ini tiada kaitan sedikitpun dengan anda.

Saya juga meminta maaf kepada semua pembaca blog berhubung nama Mat Yo. Anda tentu mengharapkan yang lain dari saya. Tetapi inilah sebenarnya yang ingin saya beri kepada anda.

MINTA MAAF & TERIMA KASIH.

Disiapkan pada 5.11.2012.   5.23 pm.  

   

No comments:

Post a Comment