GUGUR INDAH


Get Flower Effect

Wednesday 14 November 2012

SELAMAT MENYAMBUT MAAL HIJRAH 1434H



Kita biasa menyambut Maal Hijrah dengan bacaan Doa Akhir Tahun sebelum Mahgrib & Doa Awal Tahun selepas solat Maghrib. Tadi, saya & ahli jemaah saya siap melakukannya. Alhamdulillah, ramai yang hadir. Lelaki sekitar 20 orang & perempuan 30 orang


Kebetulannya, Maal Hijrah besok (Khamis, 1 Muharam 1434H) bersamaan dengan tarikh lahir saya, 15 November. Syukur sebanyak-banyaknya kepada Tuhan kerana masih memanjangkan umur saya.. Tahun ini, 51T. Kalau Tuhan mengizinkan, saya ingin hidup sehingga 63T, sehingga putri tunggal saya besar & dewasa, serta menjadi wanita solehah yang berjaya di depan mata saya. Insyaallah.

Saya juga ingin melihat putra-putri kesayangan saya semuanya berjaya & menjadi insan soleh/solehah di depan mata saya. Hidup ini ibarat merentas lautan. Kalau mahu ke seberang sana, mesti berkapal besar Kalau mahu banyak ikan, mesti bijak menjinakkannya. Kalau mahukan berlian, mesti berani menyelam ke dasarnya. Semoga mereka semua berjaya dalam hidup masing-masing. Doa saya sentiasa mengiringi mereka..

Saya juga ingin melihat semua pelajar saya, tak kira di mana mereka berada, berjaya mencapai impian masing-masing. Ada yang masuk Matriks, U, poly, kolej Poly-Tech Mara dan sebagainya. Ada yang sudah berjaya jadi guru, ustaz, engineer, polis doktor, misi dan sebagainya. Terima kasih saya ucapkan.

Terima kasih kerana anda dahulu rajin belajar. Kerana anda dahulunya selalu hadir ke sekolah. Kerana anda dahulunya bertcita-cita mahu menjadi manusia berguna. Kerana anda dahulunya bertekad menolong mak ayah bila mereka sudah tua. Terima kasih untuk kamu semuanya.   
     .  
Maal Hijrah bermaksud ‘Bersama Berhijrah”. Mari kita menukar perangai, cita-cita, cara berfikir,  tekad, timbang-tara, akhlak dan sebagainya menuju kepada positif. Semuanya bersumber kepada pristiwa penghijrahan Rasulullah S.A.W dari Mekah ke Madinah.

Tadi, saya menerima sebuah sms dari anak angkat saya, H yang berbunyi seperti berikut.

Salam Maal Hijrah. Hijrah memerlukan pengorbanan. Hijrah paling besar adalah hijrah mengenal, mencintai serta mengikut suruhan Allah. Walau pun ia sakit untuk digapai namun disisiNya, besar ganjarannya. Semoga tahun baru ini memberi semangat & azam baru kepada kita untuk mencari redhaNya dalam setiap benda yang kita lakukan. Salam Maal Hijrah untuk abah & family.

Saya tertarik kepada ayat yang berbunyi, “ Hijrah paling besar adalah hijrah mengenal, mencintai serta mengikut suruhan Allah”. Melakukan 3 perkara tersebut memerlukan ketaatan total yang mesti dicontohi dari Nabi S.A.W. Maksudnya, kita mengikuti cara Nabi S.A.W untuk melakukannya. Dalam bahasa mudahnya, kita mesti menghidupkan sunnah Nabi.

Tekad saya untuk tahun 1434H ini ialah menghidupkan sebanyak mungkin sunnah Nabi. Kalau saya berada di rumah, saya akan mencontohi sunnah baginda semasa berada di rumahnya. Kalau saya berada di masjid/surau, saya akan mencontohi sunnah baginda semasa baginda berada di sana.

Kalau saya keseorangan, saya akan lakukan apa yang baginda buat semasa keseorangan. Kalau saya bersama khalayak ramai, saya juga akan melakukan sebagaimana baginda lakukan ketika bersama para sahabatnya. Apa perlunya saya melakukan semua ini?

Rasulullah S.A.W adalah insan paling mulia yang paling dicintai Allah S.W.T. Di mana pun baginda berada, akan terserlah keelokan budi pekertinya & kehalusan perangainya.  Di mana pun baginda berada, Tuhan sentiasa meredhainya. Di mana pun baginda berada, para malaikat sentiasa mendoakannya.

Rasulullah S.A.W adalah manusia terpilih yang indah semuanya. Wajahnya indah. Akhlaknya indah. Solatnya indah. Zikirnya indah. Dan semuanya indah. Tuturkatanya menyenangkan hati semua orang. Tazkirahnya mengesankan hati semua orang. Nasihatnya menyejukkan hati semua orang.     

 
Sebab itu, saya sayang kepada zikir Asmaul Husna saya yang berbunyi YA HAMIID (YANG MAHA TERPUJI), yang sentiasa saya baca 100X setiap selepas solat. Saya berharap, dengan berkat zikir itu, saya mencapai akhlak terpuji & amal soleh yang baik. Hidup yang mulia adalah hidup dengan akhlak yang terpuji. Lebih utama daripada itu, tambahilah dengan amal soleh. Perbanyakkanlah. Kuatkanlah. Perkasakanlah. 

Tahun Hijrah adalah tahun perubahan untuk mengislah diri kita. Tahun untuk kita merubah zahir & batin kita kepada yang lebih positif.  

Tetapi kadang-kadang kita membuat kesilapan dalam memberi nilai awal (TOV) kepada Tahun Hijrah & Tahun Masehi. Sesetengah orang beranggapan, Tahun Hijrah adalah Tahun Islam, manakala Tahun Masehi adalah tahun orang kafir (orang putih).

Membuat perbezaan seperti itu seolah-olah meletakkan Nabi Muhamad S.A.W itu betul dan Nabi Isa A.S itu tak betul. Cara yang kita lakukan itu sebenarnya tidak betul. Kedua-duanya adalah Rasul Allah & mempunyai darjat masing-masing di sisi Allah.

Diriwayatkan bahawa Nabi Muhammad  S.A.W, mengatakan: ‘Allah tidak akan mengecewakan suatu bangsa. Aku yang pertama dan Isa yang terakhir dari bangsa itu”.

“Tidak ada nabi atau utusan Allah di antara aku [Muhammad] dan Isa, hanya Isalah yang akan mengungguliku di bangsaku setelah aku”.

Kedua-dua hadis di atas berkaitan dengan turunnya Nabi Isa A.S pada akhir zaman untuk membangunkan semula agama Islam. Nabi Muhamad S.A.W telah memberi pengiktirafan sewajarnya kepada Nabi Isa. 

Maka kenapa kita bersikap sebaliknya?

Jangan kita hanya mahu mengubah diri kita pada saat tahun hijrah. Kita juga sepatutnya mengubah diri pada saat tahun Masehi. Tahun Masehi itu adalah tahun kelahiran Nabi Isa A.S. Baginda juga seorang nabi. Baginda juga seorang rasul Ulul Azmi. Baginda juga mesti kita imani (percayai) masih hidup kerana diangkat oleh Tuhan ke langit.

Nabi Isa A.S dipanggil Al-Masih kerana kebolehannya menyembuh penyakit. Al-Masih datang dari perkataan (masaha) yang bererti menyembuhkan. Sewajarnya kita juga mencontohi baginda dengan menyembuhkan apa-apa yang menjadi penyakit kepada kita.

JANGAN TIRU BUDAYA BARAT
Jangan kita meniru perangai orang-orang Barat yang merayakan Tahun Masehi (biasa dipanggil Tahun Baru) dengan cara maksiat dan kotor. Mereka minum arak, berpesta, seks bebas dan sebagainya.

Janganlah seperti ini. Terkinja2, terlompat2, minum arak, seks bebas & pelbagai maksiat lain.
Sebagai orang Islam yang juga mempercayai bahawa Nabi Isa A.S itu juga adalah seorang Nabi & Rasul, hendaklah kita meniru sikap penyembuhan (masaha) yang ada padanya.

Kalau kita melihat kekotoran, hendaklah kita bersihkan. Kalau kita melihat kekurangan, hendaklah kita cukupkan. Kalau kita melihat penyakit, hendakah kita berusaha menyembuhkannya. Kalau kita melihat sesuatu yang negatif, hendaklah kita positifkan.

Saya mahu menjadi budak baik, yang sayang kepada semua Nabi & Rasul. Saya sayang Nabi Muhamad S.A.W. saya pun sayang kepada Nabi Isa A.s

Jangan anda mencintai TAHUN HIJRAH tetapi membenci TAHUN MASEHI. Sayangilah kedua-dua tahun tersebut. Kedua-duanya milik Nabi yang disayangi Tuhan.       

TAHUN HIJRAH adalah tahun Nabi Muhamad S.A.W. TAHUN MASEHI pula adalah tahun Nabi Isa A.S.

Disiapkan pada 14.11.2012  10.54 pm

No comments:

Post a Comment