GUGUR INDAH


Get Flower Effect

Monday 10 December 2012

IMAM MAHDI AL-MUNTAZAR (12) Menghindari Ujub



Ramai umat Islam sekarang ini mudah merasa ujub (bangga diri) dengan dirinya. Ada yang ujub dengan hartanya, pangkatnya, kebesarannya, kekayaannya dan sebagainya. Dan bila mereka ujub, maka hati cepat menjadi buta. Mereka merasa selamat dengan kepunyaan mereka & gagal mengenal kebenaran di depan mata mereka.


BEBERAPA CONTOH MUDAH
Saya beri beberapa contoh mudah seperti berikut. A ialah seorang pegawai atasan sebuah syarikat. Beberapa orang cuba memberi cadangan. Smuanya ditolak mentah-mentah. Hang tu sapa? Hang tak payah nak mengajar aku. Aku ni boss hang. Aku dah 30 tahun jadi boss di sini. A ini digelar manusia takbur, yang ujub (bangga diri) dengan pengalaman berpuluh-puluh tahunnya.

B pula seorang ustaz yang telah lama mengajar kitab. Seorang pendengarnya memprotes kuliahnya yang kurang jelas. Kemudian pendengar ini pula memanjangkan berita ini ke warung-warung dan kedai kopi. Ustaz tua ini pula kurang sabar. Dengan perasaan ujub di dalam dadanya, dia bercakap penuh takbur. Jangan dengar cakap mamat tu. Dia tu sapa? Dia tak pernah belajar agama pun. Aku ni dah 20 tahun belajar agama kat pondok. Semua kitab aku dah belajar. Dah hadam (lumat) satu persatu.

C pula seorang yang kaya raya. Dalam satu mesyuarat di tempatnya, pandangannya ditolak. Sebaliknya pandangan bernas seorang penoreh getah diterimapakai dalam mesyuarat tersebut. Dia cukup melenting malam itu. Apa dah jadi dengan kampong ni? Adakah patut pandangan Jusoh yang bodoh, kolot, tak sekolah tinggi itu diterimapakai? Kita gelarkan C ini seorang yang ujub dengan kekayaannya.         

Anda harus berhati-hati pada saat kedatangan Al-Mahdi. Dia muncul dengan pakaian biasa & perwatakan biasa. Dia bukan manusia hebat yang bertali leher & berkot hitam. Saya bimbang anda menolak kebenaran yang dibawanya kerana sifat ujub anda pada diri anda.

Akhlak Imam Mahdi Al-Muntazar hampir sama dengan akhlak Rasulullah S.A.W. Dia boleh berkawan dengan orang misikin & makan bersama mereka. Dia boleh pergi ke rumah orang miskin & bersembang dengan mereka. Dia boleh bersolat bersama orang miskin & menghargai ketaatan mereka. Anda bagaimana?

JANGAN BERSIFAT UJUB
Ketahuilah, di antara tanda kesempurnaan ikhlas seseorang hamba itu ialah tidak merosakkan amalnya dengan  sifat ujub. Apakah makna ujub itu? Iaitu dia berasa senang dan puas terhadap amal yang telah dilakukannya. Dia tidak merasa khuatir sedikit pun.

Sikap seperti ini dapat membutakan matanya untuk melihat keadaan dirinya di celah-celah waktu yang muncul. Seharusnya apa yang perlu dilakukan oleh orang Mukmin setelah melaksanakan suatu amal ialah merasa takut jikalau dia telah melakukan kelalaian, samada disedari mahupun tidak. Maka dari itu, hendaklah dia takut kalau-kalau amalnya tidak diterima.

Allah berfirman: “Sesungguhnya Allah hanya menerima (korban) dari mereka yang bertaqwa.”  (al-Maidah: 27)

Sambungan dari kata-kata yang telah kami jelaskan di atas, sesungguhnya Imam Mahdi itu melambangkan ketinggian pada agama, pemikiran & perilaku. Adalah jelas bahawa tidak ada seorang pun yang boleh mengucapkan : “Sesungguhnya tanggungjawab kami telah habis (tamat)”.

Mereka tidak boleh ujub kepada diri mereka dan berhenti dengan mudah daripada menjalankan tugas. Mereka itu adalah orang yang jatuh pada pandangan Allah Taala  dan pandangan orang-orang beriman yang cerdas. Sesungguhnya tiada tempat bagi mereka berserta dengan Imam Mahdi (ms 5, Imam Mahdi Di Ambang Pintu).

Imam Mahdi Al-Muntazar bukanlah manusia yang sombong dan ujub kepada dirinya, statusnya, amalannya, kedudukannya dan sebagainya. Dia adalah seorang manusia yang sangat membenci kepada ujub, bahkan sangat menghindarinya.

Di antara ungkapan yang sangat berkesan dalam masalah ini, yang dinisbahkan kepada Ali bin Abi Thalib adalah, “Suatu keburukan yang menyesakkanmu lebih baik di sisi Allah daripada kebaikan yang membuatmu ujub.”

Pengertian seperti ini juga ditetapkan Ibn ‘Atha’illah di dalam Al-Hikam, beliau berkata, “Boleh jadi Allah membuka pintu ketaatan bagimu, tetapi tidak membuka pintu penerimaan amal bagimu”.

“Boleh jadi Allah mentaqdirkan kederhakaan ke atas dirimu, lalu kederhakaan itu menjadi sebab yang menghantarkanmu kepada tujuan”.

“Kederhakaan yang membuahkan ketundukan dan kepasrahan lebih baik daripada ketaatan yang membuahkan ujub dan kesombongan.”

Ujub ini adalah pakaian Iblis takkala dia merasa mulia kerana dijadikan daripada api. Katanya, api lebih mulia daripada tanah di atas kesombongannya tidak mahu sujud kepada Adam a.s.

PANJI-PANJI HITAM DARI KUFAH
Saya suka mencoretkan sebahagian kata daripada 56 keterangan daripada Tabi’in & Tabiut Tabi’in dalam kitab “Inilah Imam Mahdi yang dinanti-nanti” (ms 91) yang berbunyi “Sebelum Al-Mahdi, ada panji-panji hitam yang berkibar dari Khurasan, satu wilayah di Kufah. Jika Al-Mahdi sudah berada di Mekah, maka pasukan ini dikirim ke Mekah”

Dalam keterangan yang lain, di bawah tajuk “Tanda yang berbeza-beza bagi Al-Mahdi”, ada keterangan berbunyi, “ Al-Mahdi akan muncul dari Mekah pada waktu Isyak dengan membawa panji dari Rasulullah S.A.W.  Baju besi dan pedangnya mempunyai tanda-tanda khusus, bercahaya & berkilauan. Jika mengerjakan sembahyang Isya, dia lantas berkhutbah dengan khutbah yang panjang, mengajak manusia untuk taat kepada Allah dan RasulNya. Bumi Hijaz diserahkan kepadanya. Bani Hasyim yang berada di laut mendarat, panji-panji hitam daripada Kufah dikirimkan untuknya & askar-askarnya menyebar ke seluruh penjuru alam.

Kami berpendapat bahawa pernyataan di atas berlaku sesudah Al-Mahdi dilantik sebagai pemimpin umat Islam.  Apa yang ingin kami nyatakan ialah kata-katanya ditaati dan dipatuhi. Orang yang tidak ujub (bangga diri) adalah manusia berhati suci.

Sebelum saya dan anda terlupa, anda akan dapati bahawa panji-panji hitam itu berasal dari Kufah, sebuah daerah di Iraq. Itulah Khurasan sebagaimana yang disebut dan dinyatakan sebelum ini. Dan anda juga mesti tahu bahawa Al-Mahdi itu muncul di Harrah. Di manakah Harrah? Sebuah kawasan di Arab Saudi.

Mari kita kembali semula kepada perbahasan tentang ujub ini. Tolong perhatikan bahawa Imam Mahdi ini sangat menghindari sifat ujub. Kerana sifat ujub ini sifat iblis yang sangat dilaknat tuhan. Maka kerana itu, tolong perhatikan pula diri anda. Jangan sesekali anda bersifat ujub.

MANFAAT SEDEKAH
Allah selalu menganjurkan kita supaya rajin bersedakah, kerana bersedakah itu mempunyai 4 manfaat besar seperti berikut. [1] Menolak bala, [2] Memanjangkan umur, [3] murah rezeki & [4] menyembuhkan penyakit. Akan tetapi,  janganlah anda menyertai sedekah anda dengan menyebut-nyebutnya dan memasukkan ucapan yang menyakitkan di dalamnya.  kerana dikhuatirkan akan menggugurkan pahalanya.

Allah berfirman yang bermaksud:

“Perkataan yang baik dan pemberian maaf lebih baik daripada sedekah yang diiringi dengan sesuatu yang menyakitkan (perasaan si penerima). Allah Maha Kaya lagi Maha Penyantun”.

Kemudian ayat itu bersambung lagi seperti berikut : “Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menghilangkan (pahala) sedekah kamu dengan menyebut-nyebutnya dan menyakiti (perasaan si penerima), seperti orang yang menafkahkan hartanya kerana riya’ kepada manusia dan dia tidak beriman kepada Allah dan hari kemudian. Maka perumpamaan bagi orang itu adalah seperti batu licin yang di atasnya ada tanah, kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu jadilah ia bersih (tidak bertanah).”  (al-Baqarah: 263-264)

Janganlah anda ujub dalam sedekah anda. Kerana sifat ujub itu akan menghalang anda dalam menerima kebenaran. Awasilah sifat onar yang mungkin bercambah sedikit demi sedikit dalam diri anda.  Hindarilah sifat ujub kalau anda benar-benar pencinta Imam Mahdi.

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam juga memperingatkan bahaya ujub dan menjadikannya termasuk hal-hal yang merosak. Ibn Umar meriwayatkan dari Baginda yang bermaksud:

“Tiga perkara yang merosak dan tiga perkara yang menyelamatkan. Sedangkan perkara-perkara yang merosak adalah kedekut yang ditaati, hawa nafsu yang diikuti dan ujub seseorang terhadap dirinya.”  (HR Imam at-Thabrani, hadith hasan dalam Shahih al-Jami’ as-Shaghir, no. 3045)

MARI PERHATIKAN KISAH INI
Mari kita lihat kisah di bawah tentang besarnya bahaya ujub. Al-Quran telah mengisahkan kepada kita kejadian yang dialami kaum Muslimin pada waktu Perang Hunain.

Allah telah memberikan kemenangan kepada mereka sewaktu Perang Badar, padahal mereka sama sekali tidak mungkin  menang. Allah juga memberikan kemenangan kepada mereka pada Perang Khandaq, yang sebelum itu pandangan mereka meredup, hati mereka naik ke atas hingga sampai ke tenggorokan, mereka menduga yang bukan-bukan terhadap Allah dan mereka tergoncang dengan hebat. Allah juga memberikan kemenangan kepada mereka pada waktu Perang Khaibar dan Fathu Makkah.

Tetapi pada waktu Perang Hunain mereka menjadi ujub kerana jumlah mereka yang banyak. Ternyata jumlah yang banyak ini tidak memberi manfaat apa-apa, hingga mereka pasrah kepada Allah. Mereka pun menyedari bahawa kemenangan datang hanya dari sisi Allah.

Dia berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah telah menolong kamu (hai kaum Muslimin) di medan peperangan yang banyak, dan (ingatlah) peperangan Hunain, iaitu pada waktu kamu menjadi sombong kerana banyaknya jumlah kamu, maka jumlah yang banyak itu tidak memberi manfaat kepada kamu sedikit pun, dan bumi yang luas itu telah terasa sempit oleh kamu, kemudian kamu lari ke belakang dengan bercerai-berai. Kemudian Allah menurunkan ketenangan kepada RasulNya dan kepada mereka yang beriman.”  (at-Taubah: 25-26)

BAHAYA SIFAT UJUB
Demikianlah besarnya bahaya sifat ujub. Imam Mahdi Al-Muntazar  menghindarinya dan sama sekali tidak mahu menyarungnya sebagai pakaiannya. Dia memilih pakaian kehambaan sambil hatinya tunduk patuh kepada Tuhan.

Orang Mukmin yang sedar adalah mereka yang menyerahkan segala urusannya hanya kepada Allah, lalu percaya bahawa kemenangan hanya datang dari sisiNya.

Firman Allah: “Dan kemenangan itu hanyalah dari Allah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.”  (Ali Imran: 126)

Marilah bersama Imam Mahdi untuk bertawakkal sepenuhnya kepada Tuhan. Kehidupan tanpa ujub adalah kehidupan penuh kemenangan.

Kemuliaan juga datang hanya dari sisiNya: “Barangsiapa yang menghendaki kemuliaan, maka bagi Allahlah kemuliaan itu.”  (Fathir: 10)

Taufiq kepada hal-hal yang baik juga berasal dari pertolongan Allah. FirmanNya:  “Dan tidak ada taufiq bagiku melainkan dengan (pertolongan) Allah.”  (Hud: 88)

Hidayah juga hanya datang dari sisiNya: “Barangsiapa yang disesatkanNya, maka kamu tidak boleh mendapatkan seorang pemimpin pun yang mampu memberikan petunjuk kepadanya.”  (Al-Kahfi: 17)

Dikatakan dalam sebuah syair:
Andaikan Allah tiada mempedulikan kehendakmu
Nescaya tidak akan ada pilihan bagi semua manusia
Andaikan Dia tidak memberi petunjuk jalanmu
Nescaya kau akan tersesat sekali pun ada di langit sana


Sekian. Isnin, 10.12.2012       9.32 pm

1 comment:

  1. Penenrangan yang sgt bagus. Jazakallahu khairan.

    ReplyDelete